Ya, sejak melancarkan album baharu Khamis lalu, itu antara pertanyaan yang dilemparkan kepadanya. Isu segelintir stesen radio yang enggan memutarkan kebanyakan lagu penyanyi lama sebenarnya bukan lagi isu yang baharu. Paling mengejutkan apabila Datuk Siti Nurhaliza sendiri pernah meminta sebuah stesen radio popular untuk memutarkan lagunya baru-baru ini.

Mendepani isu berkenaan, Ella tidak melihat perkara tersebut sebagai satu halangan besar untuknya terus menghasilkan album baharu. Tentu sahaja platform radio merupakan medium paling cepat untuk menaikkan lagu sesiapa sahaja memandangkan ia lebih mudah dicapai oleh sesiapa sahaja.

“Saya tahu isu berkenaan. Tapi secara peribadinya saya tidak pernah menjadikan perkara tersebut sebagai halangan besar untuk menghasilkan album baharu. Apa yang penting, saya terus berusaha menghasilkan produk yang berkualiti memandangkan ini kerjaya saya.

“Untungnya, saya mempunyai pasukan yang bertungkus lumus mahu mempromosikan album ini. Mereka juga sudah menghantar lagu pertama untuk dipromosikan. Harapnya ada reaksi positif yang akan diberikan oleh pihak tersebut sedikit masa lagi,” kata Ella penuh pengharapan.

Tentu sekali album Peace Love Rindu yang menjadi album studio ke-12 sepanjang pembabitannya ke dalam bidang ini menjadi buah tangan paling berharga untuk peminat. Kali terakhir dia mengeluarkan album kira-kira sepuluh tahun yang lalu melalui album Rama-Rama.

Pun begitu, Ella sudah bersedia untuk melakukan beberapa gerak kerja termasuklah mempromosikan secara digital. Seperti mana yang diketahui, kebanyakan album hari ini dijual secara digital dan juga boleh dipromosikan melalui beberapa medium lain seperti Spotify, Joox, KK Box dan banyak lagi.

Sebagai penyanyi yang ‘dilahirkan’ era kaset dan cakera padat bermula tiga dekad yang lalu, Ella juga perlu pantas bergerak seiring dengan perkembangan teknologi hari ini. Baginya dia tidak pernah menolak perkara berkenaan meskipun masih mengharapkan jualan album fizikal mendapat sambutan hangat peminat.

“Dalam era teknologi, saya juga perlu pantas ke hadapan menggunakan semua platform yang ada untuk memperkenalkan Peace, Love, Rindu ini. Saya tahu masih ada dalam kalangan penyanyi lama yang kurang berkenan dengan cara baharu ini dan lebih sukakan yang dahulu.

“Tapi untuk saya, perkara itu tidak boleh ditolak. Teknologi mengubah banyak perkara dan saya perlu seiringan,” katanya yang mengharapkan album ini mampu diterima ramai seperti mana album-album terdahulu yang pernah dihasilkan.