Jadi tidak hairanlah jika bekas anggota kumpulan duo Delisha ini sentiasa berusaha bersungguh-sungguh agar semua cabang seni itu meresapi dalam diri.

Menyanyi, berlakon teater, bermain piano dan menjadi pengacara program tertentu menjadi minat utama anak kelahiran Singapura pada waktu ini.

Sehingga Hannah sanggup mengikuti bengkel dan menjalani latihan intensif semata-mata demi memantapkan bakat sedia ada.

“Pada waktu muda inilah saya perlu menjadi serba boleh. Saya kena rajin meneroka kemampuan-kemampuan lain yang ada dalam diri saya.

“Kedengarannya seperti saya seorang yang tamak apabila semua bidang seni saya nak kuasai. Tapi mengapa tidak?

“Masa muda inilah saya boleh tamak. Nak menguji diri dan meneroka peluang, kalau tidak saya tidak tahu kemampuan diri yang sebenar.

“Dan selepas melalui proses eksperimen itulah baru saya boleh buat keputusan untuk fokus dalam bidang pilihan,” katanya yang sedang mengikuti bengkel teater selama tiga bulan.

Menjadikan ibu, Noor Ashikin yang juga penyanyi Singapura sekitar 80-an sebagai idola, Hannah juga banyak merujuk kepadanya dalam semua hal membabitkan bidang seni.

Sebagai orang yang berpengalaman, sudah pastilah banyak ilmu tentang latar belakang dalam dunia hiburan diturunkan kepada Hannah sebagai persediaan sebelum bergelar artis serba boleh.

Pada masa yang sama, Hannah juga mengambil peluang untuk mempelajari teknik nyanyian yang baik daripada ibunya sendiri.

Memandangkan dia merupakan anak tunggal, sudah pastilah permintaannya itu tidak menjadi perkara yang besar buat ibunya.

“Saya menghormati ibu kerana dia banyak membantu merealisasikan impian untuk menjadi penghibur serba boleh dan dikenali di rantau ini.

“Ibu juga yang bertanggungjawab memberi pendedahan kepada saya tentang selok belok dunia hiburan. Kami juga berkongsi minat yang sama.

“Dia banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar. Saya terhutang budi kepadanya,” kata Hannah tentang ibunya yang popular dengan lagu Kerana Mulut satu ketika dulu.

Pelajaran

Hannah juga memberitahu, dia merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni persembahan jika langkahnya tidak berjaya dalam bidang nyanyian.

Bagaimanapun menurut Hannah, perkara tersebut masih dalam perancangan memandangkan dia sendiri berdebar-debar untuk menanti respons single baharunya berjudul Anugerah.

Anugerah merupakan lagu ciptaan Akir dan Forezen daripada kumpulan Hyperact.

“Selain berkemampuan menyanyikan lagu bahasa Melayu, saya sebenarnya juga boleh menguasai lebih 10 lagu pelbagai bahasa.

“Antaranya lagu Hindi, Jepun, Arab, Sepanyol, Cina yang saya pelajari secara berperingkat-peringkat hasil tunjuk ajar daripada ibu.

“Tak sukar sebab kebanyakan daripada melodinya mudah dijiwai walaupun berbeza-beza. Saya sangat berharap agar kelebihan ini membantu diri saya untuk pergi lebih jauh.

“Impian ini juga akan terus saya kejar sampai berjaya satu masa nanti,” katanya yang bersyukur apabila namanya semakin dikenali sejak akhir-akhir ini.