Dilimpahi dengan nikmat kemewahan dan kesenangan sementelah dilahirkan dalam sebuah keluarga berada, Sarah Suhairi telah terbiasa dididik untuk belajar berdiri di atas kaki sendiri.

Maka, apabila ada yang menuduh dia berupaya mencipta populariti pada usia muda kerana latar belakang keluarganya yang berada, Sarah tersentak sejenak.

Tidak pernah menguar-uarkan perkara ini kepada khalayak, penyanyi ini yang kini popular dengan lagu Nyawa & Raga menegaskan, kerjaya seni yang dibina adalah hasil usaha sendiri.

“Siapa yang kata saya gunakan kesenangan keluarga untuk berada dalam bidang ini, mereka salah. Syarikat pengurusan juga banyak memainkan peranan.

“Bagi saya, menjadi seorang artis kita kena pandai bina rangkaian perhubungan yang baik dengan semua pihak, bukannya berharap kepada keluarga sahaja,” katanya memulakan bicara.

Bersyukur kerana populariti menyebelahi apalagi selepas meraih gelaran juara menerusi program realiti Big Stage baru-baru ini, Sarah mengaku tidak semua yang dilihat itu sebenarnya mudah untuk dilalui.

“Orang di luar tengok saya menyanyi di pentas, habis kemudian pulang. Mereka tidak nampak apa yang saya lakukan ini adalah satu pekerjaan.

“Mereka tidak nampak saya bekerja dan bagaimana sukarnya sesuatu proses di belakang tabir sebelum saya buka mulut menyanyi.

“Takkanlah semua itu perlu dicanang 24 jam dalam media sosial. Nanti dikecam seolah-olah tiada kerja lain pula,” katanya.

Mengaku kadangkala tidak memahami kerenah netizen yang kebanyakannya bersikap mudah menghukum, Sarah enggan membidas sebarang pandangan serong terhadapnya.

Baginya, sesuatu perkara ada baiknya andai terus disimpan sendiri dan tidak perlu diperbahaskan seperti yang mereka mahu.

“Apa yang penting, saya tidak duduk goyang kaki dengan kesenangan keluarga. Orang yang tak tahu terperinci mengenai saya, mereka boleh katakan apa sahaja.

“Tidak semestinya kita senang, maka kita mudah ‘bernafas’ dalam industri. Semua perkara dalam hidup menuntut kita untuk sentiasa berusaha sendiri,” katanya.

Tahu batas

BERKONGSI mengenai kecaman yang diterima saat menyatakan hasrat menjadi penyanyi berhijab pertama dalam negara menyanyi rap, Sarah cuba menenangkan diri.

Katanya, dia pelik mengapa ada pihak sengaja menjadikan itu isu sedangkan tiada salahnya andai perkara itu berlaku.

"Lagu Nyawa & Raga memerlukan saya rap dan setakat ini ramai penyokong memberi sambutan yang baik. Tak sangka ada juga pihak yang tak berpuas hati.

"Saya cuma mahu tampilkan kelainan dan bukan mengikut budaya hip hop di luar yang menyanyi rap dengan menyebut perkataan-perkataan lucah dan sensitif.

"Saya faham situasi ini dan had diri sebelum menyanyi. Jadi, kenapa orang di luar jadikan ia satu isu? Adakah kerana saya penyanyi berhijab?" katanya.

Tahu bahawa masing-masing mempunyai pandangan sendiri, gadis berusia 18 tahun itu sedar had dan batasnya sebagai seorang wanita beragama Islam.

"Tengoklah pada perkara apa yang dimaksudkan, kalau setakat rap, takkanlah itu pun jadi satu isu. Ia tidak melampau pun," katanya.

Kejutan budaya

DALAM pada itu, berkongsi pengalaman pertama kali di set penggambaran sebagai pelakon, Sarah mengaku teruja.

Tidak menyangka sama sekali karier sebagai seorang pelakon menuntut komitmen dan stamina yang tinggi, dalam keluhan dia mengaku penat melayari kerjaya itu.

Disebabkan itu, dia belum bercadang memberi tumpuan penuh dalam bidang lakonan meski wataknya sebagai Nora dipuji dalam drama mini lima episod Sunsilk, Sis Cuba.

"Boleh dikatakan saya alami kejutan budaya jugalah apabila terjun dalam bidang lakonan. Selama ini tak pernah tahu rupanya ada ketika ia menuntut seseorang pelakon itu untuk bekerja dari pagi ke pagi keesokannya.

"Ternyata ia memang memenatkan dan saya tabik pada semua barisan pelakon dalam industri. Mereka ini hebat,” katanya yang mahu memberi keutamaan kepada bidang nyanyian sahaja.

Oh rupa-rupanya!

  • Digosipkan bercinta dengan Andi Bernadee, Sarah mengaku dia sebenarnya menganggap penyanyi itu seperti abang sendiri. Lagipun, mereka sekepala, lebih-lebih lagi kalau bab makan.
  • Sangat meminati Dayang Nurfaizah dan memasang impian mahu berduet dengan idolanya satu hari nanti andai punya rezeki.
  • Selain komposer terkenal, Audi Mok, Hael Husaini dan Ezra Kong, Sarah juga teringin bekerjasama dengan penyanyi rap dan komposer Rabbit Mac, Joe Flizzow dan SonaOne.
  • Kesihatan yang baik adalah keutamaannya sebagai penyanyi. Antara rutin beriadah yang dilakukan adalah sukan berkuda. “Lagi pun berkuda juga adalah salah satu sunah Rasulullah,” katanya.
  • Mula belajar menari selepas tampil dengan lagu Nyawa & Raga. “Baru saya tahu penat juga menari sambil menyanyi. Salah teknik, pernafasan semasa menyanyi boleh terganggu,” jelasnya.
  • “Ayah tidak memanjakan anak-anak dan kalau mahu minta apa-apa daripadanya, tak boleh banyak kali. Nanti dia lagi tak akan layan,” kata Sarah bercerita mengenai ketegasan bapanya seorang ahli perniagaan.