Penyanyi dan pelakon Ieda Moin berkata, dia sedikit pun tidak berasa sedih atau terkilan apabila mahligai yang dibina bersama Mohamad Naquib Idris pada 4 November 2006 musnah dengan lafaz talak satu, kira-kira pukul 11 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 18 Disember lalu.

Mungkin agak riak bagi seoang wanita yang lapan tahun hidup bertemankan suami menuturkan kata-kata itu, tetapi bagi Ieda, dia ada sebab tersendiri untuk tidak bersedih.

“Nak bersedih pun tidak guna kerana perkara telah berlaku. Sebaliknya saya lebih senang untuk menganggap apa yang saya lalui ini sebagai hikmah kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik dan terburuk untuk hamba-Nya. Bagi saya tidak ada apa yang perlu ditangiskan, sebaliknya inilah masa untuk saya bangkit membina kehidupan baharu bersama anak, Nur Dhia Dania.

“Tak boleh nak bersedih-sedih sebab saya perlu kuat untuk anak. Saya rasa anak tahu apa yang berlaku kepada ibu bapanya. Cuma dia tidak pandai nak luahkan perasaan sahaja. Sebab itulah kami tidak mahu gaduh-gaduh soal penjagaan anak. Anak bebas untuk tinggal dengan saya atau bapa dia,” kata Ieda ketika dihubungi Hits, baru-baru ini.

Tidak dinafikan perceraian Ieda dengan bekas suami amat mengejutkan kerana sebelum ini tiada khabar yang rumah tangga mereka dilanda badai.

Sepatah kata Ieda atau nama sebenarnya, Siti Haida Abd. Moin, 34, seperti pasangan suami isteri lain, rumah tangganya juga tidak lepas daripada pergolakan dan mula goyah sejak Oktober lalu apabila mereka tidak lagi tinggal sebumbung.

“Seboleh mungkin saya tidak mahu kisah perceraian ini menjadi tatapan umum tetapi saya sedar sebagai artis, pasti pihak media dapat hidu juga. Bukan nak sorok, cuma bila berita macam ini keluar, rezeki di depan mata pun boleh hilang.

“Tak tahulah kebetulan atau memang itu bukan rezeki saya, kerana sebelum ini bila tersebar berita kata saya memfail cerai, tiba-tiba sahaja ada pihak produksi beritahu drama yang sepatutnya saya berlakon terus ditolak oleh stesen televisyen,” ceritanya sedih.

Enggan menangisi nasibnya yang kini bergelar janda, Ieda mahu tumpukan perhatian pada lakonan dan nyanyian. Selain itu, Ieda juga sering diundang sebagai pengacara majlis.