Itu yang dirasakan oleh pelakon Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 33, atau Elizad yang mengaku sedikit terasa dengan tuduhan sesetengah pihak di luar sana. Pandai-pandai sahaja mereka mengatakan hubungannya dengan suami, Shamsul Baharin Rahman, 45, kini sedang berdepan dengan masalah.

Hanya kerana dia tidak begitu rajin memuat naik foto mesranya bersama suami di media sosial dan sering kelihatan sangat berdikari, maka timbul tuduhan seperti itu. Mujur saja Elizad bukanlah seorang yang mudah melenting dan tidak ambil serius soal itu.

Sebagai anak seni, wanita ini tahu dia tidak boleh lari daripada sebarang cerita kontroversi namun menegaskan ada waktunya dia perlu bersuara bagi mengelak wujudnya salah faham yang lebih dahsyat.

“Saya pun pelik macam mana boleh timbul isu saya ada masalah dengan suami sedangkan hubungan kami baik-baik sahaja. Ya, mungkin kerana kami tiada anak maka orang tuduh begitu.

“Satu lagi kami masing-masing sibuk kerja, tak ada masa sangat mahu berkongsi momen indah bersama di media sosial. Tapi bagi mereka yang kenal, saya seorang yang sangat menyimpan hal peribadi,”katanya.

Kongsi pelakon ini, dia tidak pernah menafikan hidup bahagia dengan suaminya, cuma kadangkala tidak berani terlalu teruja mengeluarkan kenyataan begitu kerana sebagai manusia biasa, dia tidak tahu apa akan berlaku satu hari nanti.

“Lebih baik saya katakan, syukur kepada Allah kerana semuanya baik sahaja setakat ini. Kita tak tahu apa akan terjadi esok lusa, kalau ia (perpisahan) terjadi, siapa kita untuk melawan takdir bukan?

“Boleh jadi kerana ketiadaan cahaya mata, boleh jadi juga kerana perkara lain, siapa tahu?”katanya.