Kejadian berlaku pada Sabtu lalu di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Bil dikatakan menumbuk Asfan di hadapan orang ramai ketika penyanyi tersebut menunggu ketibaan isteri yang baru pulang dari bercuti di Perancis.

Pergaduhan tersebut dikatakan berpunca apabila Bil yang sudah tidak dapat menahan sabar dan amarah terhadap pelantun lagu Alasan Untuk Bahagia kerana mengabaikan isterinya.

Sensasi Hits cuba menghubungi Bil sendiri bagi mendapatkan kepastian perkara sebenar yang berlaku ketika kejadian. Ikuti perbualan antara Sensasi Hits bersama Bil.

Ramai sudah tahu mengenai kejadian tumbuk-menumbuk antara Bil dan Asfan. Mungkin boleh ceritakan lebih lanjut apa sebenarnya yang berlaku ketika itu?

Memang saya tumbuk muka dan badan Asfan pada Sabtu lalu. Jujurnya benda itu berlaku di luar jangkaan saya sendiri. Tapi bila iman dan kesabaran sudah dicabar, saya terus hilang kawalan. Sebelum terjadi perkara itu, saya masih okey lagi dengan Asfan dan adalah kami berbual-bual.

Berapa lama kesabaran Bil sudah dicabar dan apa yang membuatkan Bil ambil tindakan sampai menumbuk dia?

Manusia biasa seperti saya ada tahap kesabarannya, tapi bila iman dan sabar saya sudah dicabar sejak dua tiga tahun lamanya maka ia akan jadi macam inilah. Saya jenis yang susah nak sentuh orang apatah lagi nak cari pasal, tapi bila sudah dijentik, jadi macam inilah.

Difahamkan juga masa kejadian, ibu Bil berada di sana, bagaimana pula dengan komen keluarga dengan tindakan Bil pada masa itu?

Hmmm... Keluarga saya semua okey. Mereka tak menghalang dengan perbuatan saya. Memang kalau ikut undang-undang saya salah sebab pukul dia di tempat awam. Tapi bila bercakap mengenai iman dan kesabaran, benda macam inilah yang terjadi. Saya sedikit pun tak rasa menyesal apa yang saya buat itu.

Bil ada rasa malu tak bila orang ramai melihat perbuatan yang dilakukan di tempat awam itu?

Bila dah marah, dekat tempat sunyi atau di hadapan ramai orang pun kita boleh lepaskan marah. Saya rasa orang sekeliling dengar apa yang saya cakap pada Asfan masa itu. Saya ada jerit depan dia, tapi tak perlulah rasanya saya beritahu apa yang saya jeritkan. Biar orang yang di sekeliling itu sahaja yang tahu. Saya saya rasa mereka pun faham kerana kejadian itu berlaku di sebabkan masalah keluarga.

Orang nak tahu, apa puncanya Bil bertindak menumbuk dan memukul Asfan sampai begitu sekali?

Cukup sekadar saya katakan ia terlalu peribadi untuk diberitahu kepada umum. Saya tak nak nanti ia akan mendatangkan malu pada Asfan bila dia disoal benda yang sama. Saya tak mahu tutup periuk nasi dia. Ini masalah dalaman keluarga jadi saya perlu fikirkan dari banyak segi.

Bagaimana hubungan Bil dengan Asfan lepas kejadian? Mungkin ada jalan penyelesaiannya?

Saya masih okey dengan dia. Kalau dia mesej atau telefon, mestilah saya akan jawab. Sebab dia masih lagi suami pada kakak saya. Dia masih sebahagian daripada keluarga kami. Kalau dia ada inisiatif untuk cuba selesaikan perkara ini, dia akan telefon saya sendiri. Tapi hingga kini dia sendiri tak hubungi saya. Bagi saya, orang benar tak perlu takut akan kebenaran. Misal kata dia nak selesaikan dengan cara baik, saya sangat terbuka untuk berjumpa dengan dia.

Dalam pada itu, apa perkembangan terkini Bil?

Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri 14 episod, Lara Hati untuk TV9, arahan Hatta Azmi.