Dihentam dan disindir dengan pelbagai kata nista, malah dihina rakan sekeliling kerana dikatakan tidak berbakat dan syok sendiri, itu semua antara ujian yang terpaksa dihadapi Izzmad Harun.

Dalam melalui tempoh tersebut, Izzmad mengakui pernah berputus asa untuk meneruskan kerjaya nyanyian kerana tidak sanggup ‘ditikam belakang’ oleh rakan-rakan sendiri.

Hanya ada satu penyebab yang membuatkan Izzmad atau nama sebenarnya Mohammad Hazwan Harun, 24, kembali bersemangat untuk kekal berjuang di pentas seni. Semuanya kerana si adik bongsu, Hazwana Harun, 19, yang tergolong dalam orang kurang upaya (OKU).

“Saya bukannya tidak boleh menerima kritikan, tetapi janganlah bersikap talam dua muka. Di hadapan memuji, di belakang pula bukan main lagi memburuk-burukkan saya di sana sini.

”Kalau suara saya tak bagus, cakap depan-depan supaya boleh diperbaiki. Itu barulah kawan sebenar. Bagi saya, siapa lagi nak tegur kalau bukan kawan sendiri.

”Tipulah kalau saya cakap tidak pernah terkilan dengan kutukan kawan-kawan. Saya pernah tertekan dan balik kampung untuk berehat. Ketika itu saya rasakan seolah-olah apa yang saya perjuangkan dalam nyanyian selama ini seperti sia-sia” kata Izzmad meluah rasa.

Dek terlalu kecewa, Izzmad mahu menjauhi mereka yang disifatkan berperangai umpama `plastik’ dan gemar berpura-pura. Apa yang penting, hatinya tenang dan bahagia.

“Melihatkan adik yang kuat dan tabah meneruskan kehidupan, kenapa saya yang sempurna sifat begitu lemah dan cepat patah semangat? “Hanya kerana tak tahan dengan kutukan kawan-kawan, saya nak mengalah. Justeru saya mengambil semangat adik dan bangkit meneruskan nyanyian. Saya rela dihina orang lain demi adik.

“Saya menyanyi untuk bantu keluarga dan menggembirakan adik. Tak kisah apa orang nak cakap. Sementelah saya masih solo, jadi apa yang saya lakukan semuanya untuk keluarga,” kata Izzmad yang ditemui usai majlis pelancaran single terbaharunya Bisa Pertama di sebuah hotel di ibu kota.

Dalam majlis tersebut, Izzmad menangis ketika menyanyikan lagu tersebut kerana terkilan adiknya tidak dapat hadir disebabkan pergerakan yang terbatas.

Selain digolongkan sebagai OKU, Hazwana juga mengalami gangguan saraf otak akibat pembedahan sebanyak 48 kali di bahagian kepala.

Justeru, Izzmad percaya segala aturan rezeki di tangan Yang Esa, penyanyi ini sudah bulat hatinya dan bertekad untuk terus berusaha. Hanya itu jalan untuknya membahagiakan keluarga tercinta.

Kisah Bisa Pertama

Terus berjuang dalam bidang muzik, kini Izzmad Harun sudah muncul dengan single kesembilan berjudul Bisa Pertama ciptaan dan lirik oleh Bayeng Black serta susunan muzik oleh Hadi Hassan.

Lagu itu mengisahkan seorang lelaki yang ditinggal kekasih.

“Walaupun lagu ini mengisahkan percintaan, namun bagi saya ia berkisarkan kehidupan sendiri. Apabila mendengar saja lagu ini saya pasti teringatkan adik.

“Saya meninggalkan adik di kampung, Teluk Intan, Perak untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur. Memanglah sedih tetapi itulah pengorbanan saya untuknya. Saya masih di sini sebagai penyanyi juga disebabkan semangat adik dalam diri saya.

“Saya juga mengharapkan lagu ini dimainkan di radio. Sebelum ini lagu-lagu saya banyak digunakan sebagai lagu tema drama, tidak disiarkan di radio,

“Apa pun saya bersyukur kerana bukan senang untuk sesebuah lagu menjadi lagu tema. Itu rezeki saya,” katanya.

Antara lagu Izzmad yang pernah jadi lagu tema drama adalah Sahabatku, Inilah Cinta, Aiziah, Saat Ini, Bulan Bintang, Selalu di Jiwa dan Saat Kau Jauh.

Selain menyanyi, Izzmad juga sudah bergelar pelakon dan mempunyai syarikat produksi sendiri iaitu Izzmad Harun Empire.