Semua itu dek keberkesanan lakonannya menerusi filem Remp-It dan Mat Motor hingga pengikut naskhah tersebut terbawa-bawa dengan karakter pelakon dan pengarah berkenaan.

Namun begitu, Zul, 40, juga pernah berasa seolah-olah diperli sekali gus kurang selesa. Ini kerana dia terlalu kerap dipanggil dengan gelaran yang sama.

“Dulu waktu filem itu ditayangkan, ada juga terbit rasa bangga bila orang panggil kita ‘mat rempit’. Tapi perasaan itu semakin jadi kurang selesa pula.

“Saya terfikir, mereka perli sayakah? Hilang rasa bangga bila selalu dipanggil begitu,” katanya.

Tambah Zul, memegang watak yang sama iaitu Spark, filem Remp-It lakonannya ditayangkan pada 2006 manakala Mat Motor pula pada 2016.

“Sekarang saya tengok sudah mula ramai panggil saya dengan nama itu. Apa pun saya sudah tak kisah,” katanya dalam sidang akhbar Spark Gathering & Jungle Town 2018 di The Garage, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selaku pengasas Kelab Sinar Permotoran Amatur Kebangsaan (Spark Malaysian Club), Zul turut mengumumkan bakal mengelolakan karnival permotoran dan kebudayaan terbesar di negara ini. Ia akan berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 Disember ini dan mendapat kerjasama Majlis Daerah Gerik di Perak dan Persatuan Anak Gerik di Perantauan (PAGAR).

Ia diadakan di Lapangan Terbang Gerik sempena sambutan tahun baharu 2019 yang julung kali diadakan di bandar tersebut.

“Pelbagai aktiviti akan dianjurkan khusus buat penunggang motosikal dan para pengunjung. Kami mengalu-alukan penyertaan dari seluruh negara terutama buat pemilik motosikal ‘kapcai’.

“Objektif kita menerusi karnival ini hendak mengubah persepsi masyarakat yang sering melemparkan pandangan skeptikal pada golongan mat motor,” kongsinya.

Selain Zul, selebriti tempatan yang turut menyertai karnival terbabit ialah Farid Kamil, Dayana Roza, Cat Farish, Jaa Suzuran, Mamat Sepah dan ramai lagi. Antara aktviti yang diadakan ialah gerai jualan, persembahan motosikal lasak, cabutan bertuah dan malam tradisi silat selain pelbagai aktiviti untuk diisi selama dua hari berkampung di sana.

Tiada masa kembali berlakon

SPARK Malaysian Club (SMC) ditubuhkan atas dasar mahu merapatkan ukhuwah pengguna motosikal selain memberi pendedahan positif dengan hanya membayar yuran sebanyak RM35. Antara faedah yang diperoleh ialah peluang latihan untuk membantu mereka yang berminat berniaga.

“Dengan pendaftaran RM35, ahli layak menerima pelan insurans khairat kematian. Selain itu, yuran tahunan RM10 sahaja perlu dibayar.

“Ramai yang kurang faham tentang khairat kematian terutama sekali penunggang motosikal sedangkan mereka berada dalam graf teratas bagi yang berisiko tinggi terlibat dalam kemalangan.

“Kecelakaan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa kita menduga. Itulah pentingnya khairat kematian sebagai pelindung kepada kejadian yang tidak diingini,” kata Zul yang menyasarkan setiap daerah mempunyai satu kumpulan untuk dilatih membina perniagaan sendiri.

SIBUK BELAKANG TABIR

Usia pembabitannya dalam bidang seni sudah mencecah 20 tahun, kini fokusnya beralih kepada dunia pengarahan drama.

Walaupun rindu untuk kembali beraksi di hadapan kamera makin menebal, namun demi sayangkan kerusi sutradara itu, dia terpaksa memendam seketika niat tersebut.

“Jadi pengarah banyak menuntut masa saya di set penggambaran. Lepas itu, saya akan sibuk pula dengan proses suntingan.

“Sebab itu saya memang tidak ada masa untuk kembali berlakon. Lagipun buat masa ini saya selesa jadi pengarah dan ini salah satu cita-cita yang diidamkan sewaktu mula-mula menceburi bidang ini.

“Banyak juga menerima tawaran berlakon, tetapi terpaksa ditolak lebih awal kerana kekangan masa membataskan saya untuk kembali berlakon.

“Buat masa ini saya beri tumpuan pada karnival hujung tahun. Setelah selesai semuanya nanti, insya-Allah saya akan kembali semula di belakang kamera,” kata pengarah drama Terima Kasih Cikgu ini.