Dia yang kini berusia 21 tahun enggan terus dibelenggu rasa kekecewaan dek kerana kegagalan tersebut. Baginya meski perkara itu perit untuk ditelan, segala-galanya dilalui dengan tenang oleh penyanyi yang popular dengan lagu Sakitnya Tuh Disini.

Tidak dinafikan perkara tersebut langsung tidak menjejaskan kerjaya saya ketika ini. Tidak ada apa yang harus dikesalkan memandangkan dia menjadikan perkara tersebut sebagai pengalaman paling berharga.

"Saya bernikah ketika berusia 18 tahun dan perkahwinan tersebut tidak kekal lama. Saya diceraikan ketika itu mengikut hukum Islam selepas itu suami terus menghilangkan diri tanpa khabar berita.

“Tapi bila saya sudah bergelar penyanyi, baru dia muncul semula. Sebelum ini dia tidak pernah mempedulikan saya dan baru-baru ini dia mengaku saya isterinya pula,” ungkap Citata lagi.

Menganggap perkara itu rahmat besar buat dirinya, mereka akhirnya ke Pengadilan Agama (Mahkamah Syariah) bagi mengesahkan penceraian yang sudah dilafazkan tiga tahun lalu.

Tambahnya perkara tersebut langsung tidak membuatkan dia serik dengan perkahwinan tetapi menjadikannya semakin berhati-hati selepas ini.

Menyifatkan perkahwinan yang dibina dalam usia muda itu sebagai satu perkara yang tidak disangka-sangka, Citata menegaskan perkahwinan itu berlaku dalam keadaan yang kurang bersedia.

“Mahu kata kami tak ada rasa cinta, semuanya berlaku atas dasar cinta. Sebetulnya kami sama-sama belum bersedia untuk melayari kehidupan berumah tangga sebenarnya.

“Dia sendiri terus menghilangkan diri selepas itu dan saya menjalani kehidupan sendirian. Tidak mudah sebenarnya bergelar janda di usia muda tetapi saya mengharungi dengan baik,” katanya yang menyifatkan dirinya sebagai ‘kandas di zaman remaja’.

Tuah

MELIHATKAN sambutan yang diterima melalui lagu tersebut, Citata tidak menyangka lagu Sakitnya Tuh Disini akan meledak di Malaysia meskipun belum pernah mengadakan promosi sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana lagu ini diterima baik walaupun orang tidak mengenali siapa Cita Citata. Kehadiran saya ke Kuala Lumpur sudah membuktikan perjuangan saya di jalan yang benar.

“Orang mungkin tak menyangka lagu dangdut seperti ini boleh meledak dan menjadi fenomena. Nampaknya dangdut semakin diterima tanpa sebarang perbezaan dengan genre lain,” ungkap Citata lagi.

Sejak berada di pasaran beberapa bulan yang lalu, album Sakitnya Tuh Disini sudah pun terjual sebanyak 40,000 unit dan menjadikan album tersebut paling laris edaran melalui Tropic Jaya Entertaiment Sdn. Bhd..

Walaupun dangdut kerap kali dikaitkan dengan goyangan erotik dan berunsur seksual, Citata tidak mahu peminat skeptikal dengan perkara berkenaan.

Baginya dangdut yang dibawa olehnya lebih moden dan bersifat universal jika mahu dibandingkan dengan dangdut yang dinyanyikan oleh penyanyi terdahulu.

“Orang sering menganggap dangdut sebagai muzik pertengahan usia dan lebih berunsur seksual. Saya mahu mengubah persepsi itu dan menjadikan dangdut muzik yang diterima ramai.

“Semasa awal pembabitan dahulu saya sudah memberitahu pihak syarikat rakaman agar menghasilkan muzik yang lebih segar dan moden. Hasilnya seperti yang ada dalam album Sakitnya Tuh Disini,” jelas Citata lagi.

Akui anak bongsu daripada enam beradik ini, dia tidak menyangka percaturan untuk menjadi penyanyi dangdut akan menjadikannya masyhur di Indonesia sehingga ke beberapa negara yang lain.

Terbaharu, Citata akan mengadakan konsert mini di Plaza Angsana Johor Bahru pada 9 Mei (5 petang) dan di Menara Kuala Lumpur sehari selepas itu. - Foto SYEFRY MONIZ