Sempat menemubual Sufian baru-baru ini sempena kejutan sambutan hari lahir yang disambut oleh kelab peminatnya di sebuah kafe baru-baru ini, penyanyi tersebut mengakui tiada apa yang paling penting baginya saat ini selain tumpuan terhadap karier semata-mata.

“Pengajian dalam bidang sarjana Komunikasi Massa baru sahaja tamat dan insya-Allah bulan 10 nanti majlis konvokesyen. Jadi sekarang ini saya akan memberi sepenuh perhatian terhadap karier agar terus sukses,” ujarnya ceria.

Baguslah tu, sementara umur masih muda tu dan masih diterima ramai carilah duit banyak dan buat harta semoga senang di kemudian hari. Mary sebenarnya kagum jugalah dengan Sufian ni bukan apa walaupun dah popular tapi tetap juga pentingkan pelajaran dan dengarnya lepas ni nak sambung buat PHD pula.

Hebat bukan? Mesti ramai gadis di luar sana yang jatuh cinta dengan Suffian. Sebab tulah ada yang sanggup menawarkan diri untuk menjadi teman wanita. Nampaknya semakin melambung tinggi pula ya saham sejak putus tunang dengan seorang pelakon beberapa bulan lalu.

Kalau dah jumpa Sufian ni memang tak boleh lepas bertanyakan soalan berkaitan cinta, tapi nampaknya setakat ini dia tak berminat untuk memikirkan tentang cinta lagi. katanya, tahun ini fokusnya hanyalah kepada karier semata-mata. Tak ada target umur tertentu untuk berkahwin.

Mungkin belum tiba masanya lagi ialah bukan mudah nak mulakan sesuatu hubungan kalau dah pernah rasa pahitnya kegagalan. Iya tak?

Semoga satu hari nanti Sufian bertemu juga dengan seseorang yang memahami dirinya. Semua itu kan perancangan Allah.

Menariknya sempena hari lahirnya dia telah pun menerima hadiah yang bermakna apabila single terbarunya yang berjudul Di Matamu telah ditonton lebih 20 juta dalam masa tidak sampai dua bulan sahaja. Wahh satu pencapaian yang sangat hebat Mary rasa.

Ramai betul yang jatuh cinta dengan lagu ‘berhantu’ tersebut. Malah Sufian sendiri tak pernah menyangka ia akan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan mencecah angka setinggi itu. Bagi Mary, kalau memang dah berbakat semua itu pasti tak mustahil kan.

Khabar terbaru, dia juga sedang merancang untuk mencuba genre muzik selain balada selepas ini. Nak tukar selera baru katanya. Tak sabar Mary nak dengar kemunculan single terbaru daripada penyanyi yang semakin kacak dengan imej segar tanpa jambang ini.

“Saya bersyukur dengan sambutan yang diterima dan sekarang tengah mencuba untuk mengekalkan momentum supaya lebih berjaya daripada single sebelumnya. Malah sekarang pun tengah sibuk mengumpul material untuk single baru,” tuturnya 
yang ingin mencuba genre muzik selain balada.

Erm menyanyi pun dah berjaya sekarang nampaknya Sufian dah mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan pula. Mana taknya bulan puasa akan datang dia bakal muncul dalam sebuah telemovie. Tak salah mencuba sesuatu yang baru kan lebih-lebih lagi dengar cerita memang berbakat dalam bidang lakonan teater masa belajar dulu. Jadi tak susahlah nak kembangkan bakat yang ada tu.