Jelas Akmal, Osh atau Ahmad Fairuz Ahmad Rusli, 47, sudah memberi keterangan minggu lalu. Manakala Taj atau nama sebenarnya Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir pula hadir hari ini ke Balai Polis Mutiara Damansara untuk memberi keterangan berhubung dakwaan Farid berkenaan terdapat pihak yang memasukkan dadah di dalam minuman tanpa pengetahuannya.


“Sebenarnya saya baru dilantik oleh Taj untuk mewakili dirinya. Taj juga baru dimaklumkan mengenai dakwaan Farid. 


“Buat masa ini kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis. Soal mengambil tindakan undang-undang ke atas dakwaan Farid akan dibuat selepas ini berdasarkan keputusan siasatan polis,” katanya.


Ditanya mengenai keadaan Taj sama ada dakwaan Farid menjejaskan kehidupannya, jawab Akmal dia yakin Taj berada dalam keadaan baik. 


Sementara itu, Akmal memberitahu kedua-dua anak guamnya juga akan memberi kenyataan dalam sebuah sidang akhbar yang akan berlangsung dalam waktu terdekat. 


“Barangkali kami juga akan mengadakan sidang media,” katanya.


Dalam pada itu Taj enggan memberi sebarang komen berhubung perkara itu dan dilihat terus memasuki balai polis berkenaan.

Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas dalam sebuah balai polis, bulan lalu. 


Dia turut mendakwa diberikan rokok yang sudah disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.


Pendedahan itu membawa kepada penahanan pelakon, Soffi Jikan, 48, yang didapati positif dadah ketika hadir memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiasara Damansara, di sini, pada 6 Februari lalu. - UTUSAN ONLINE