Namun, usai penggambaran, format drama itu telah ditukar menjadi sebuah filem yang menyebabkan beberapa babak terpaksa dipotong.

Antara babak yang banyak dipotong melibatkan lakonan Syazwan Zulkifli dan menurutnya, hampir 50 peratus babaknya tidak disiarkan.

Bagi pelakon itu, dia tidak tahu tentang babak mana yang dipotong pada awalnya hinggalah dia melihat sendiri pada tayangan perdana.

“Saya tahu ada perancangan untuk menjadikan karya ini menjadi sebuah filem. Malah, selepas itu, ada siri perjumpaan yang diadakan bersama dengan pelakon mengenai babak yang bakal dikeluarkan.

“Namun, ketika itu saya tidak dapat hadir disebabkan ada komitmen lain. Ketika tayangan perdana itu barulah saya dapat melihat babak saya banyak dikeluarkan,” jelasnya.

Bagi pelakon baharu, pemotongan sebahagian babak yang dilakukan seolah-olah tidak menghargai usaha pelakon.

Tetapi bagi Syazwan, dia tidak mudah melatah dengan perkara itu dan menganggap semua yang berlaku itu adalah dengan tujuan yang baik.

“Saya sebenarnya tidak terkilan dengan pemotongan babak lakonan saya. Lagipun bukan semua tetapi kalau boleh saya mahu penonton melihat keakraban watak saya sebagai Syed Muzaffar dan watak Lisa Surihani (Aleeya Azmeen).

“Dalam novel, cerita tentang watak saya dan Lisa ada cerita tersendiri tetapi di dalam filem lebih fokus kepada watak Lisa bersama dengan Aaron Aziz sahaja.

“Babak-babak indah antara watak saya dan Lisa kalau boleh mahu diperlihatkan kepada penonton tetapi terpaksa dipotong dan diubah menjadi kisah ringkas sahaja.

“Tetapi bagi saya tiada masalah mengenai perkara itu. Sekiranya babak yang dipotong itu baik untuk filem Suamiku Encik Perfect 10, saya tiada masalah,” jelasnya.

Tambah Syazwan, sebagai pembuka tahun 2015, sambutan yang baik terhadap filem itu sedikit sebanyak memberi impak kepada kerjaya seninya.

“Sejak saya bermula pada tahun 2011 hingga kini, saya bersyukur kerana setiap tahun, akan ada karya filem yang saya libatkan diri menjadi bahan bualan.

“Jadi saya berharap, pada tahun ini juga, saya berharap akan dapat melibatkan diri dengan karya-karya yang baik dan memberi kelainan kepada penonton,” jelasnya.