Profesional dan selesa mengaku status hubungan cinta sejak mula berkenalan hingga kini, Sarah dan Nabil bahagia melakar kisah hidup sebagai pasangan kekasih.

Hangat dilamun cinta, kedua-duanya juga saling menyokong antara satu sama lain terutama dalam membina kerjaya sebagai anak seni.

Berkongsi cerita Hari Raya mereka dalam suasana santai, kedua-duanya juga bercerita tentang perkembangan terkini diri masing-masing.

Ikut ayah

Tidak menjadi masalah dengan hal cuti kerana bekerja di syarikat bapanya, menurut Nabil, dia sebenarnya telah bekerja dengan orang tuanya sejak tamat zaman persekolahan.

Dia bersyukur kerana bapanya seorang yang amat memahami dan kerana itu orang tuanya tidak pernah menghalang kerjayanya dalam bidang seni.

Mengakui melakukan dua kerja pada satu masa, Nabil gembira kerana bapanya memberi peluang untuk dia menentukan perkara yang disukai meski menjalankan bisnes keluarga.

“Ayah saya beri kelonggaran untuk saya bekerja dalam bidang seni walaupun saya bekerja sepenuh masa di syarikatnya. Dia masih mahu saya terlibat dalam dunia bisnes sebab itu memang minat saya dari dulu.

“Namun sejak sudah terjebak dalam dunia seni, saya juga rasa sayang untuk meninggalkan bidang tersebut. Jadi yang terbaik adalah lakukan kedua-duanya mengikut kesesuaian masa.

“Kata ayah, saya boleh terlibat dalam sebarang tawaran kerja seni mengikut jadual saya dan saya lihat dia banyak bertoleransi dalam hal ini,” katanya yang sedang sibuk menjalani program berjudul Rojak yang ditayangkan di Hypptv.

Program 13 episod itu menggandingkan dia dengan Hani Fadzil (Era FM) dan empat episod telah ditayangkan.

Ketika ditanya mengenai keinginannya untuk menamatkan zaman bujang, kata lelaki berusia 28 tahun ini sambil seloroh, dia tetap akan memberikan jawapan yang sama seperti sebelum ini.

Mengakui hubungannya serius dengan Sarah, bagaimanapun kedua-duanya masih belum mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.

“Tentu sekali dalam setiap hubungan kita mesti mahu sampai destinasi akhir atau sasarannya. Tetapi saya akui, perancangan itu belum ada lagi sekarang. Andai semua dipermudahkan dan sampai masanya saya tak akan sorok dan akan maklumkan kepada semua,” katanya.

Raya cara Sarah

Wanita berdarah kacukan Melayu-Amerika Syarikat-Jerman ini ternyata punya cerita raya yang tersendiri. Sama seperti Nabil, dia yang menyambut lebaran di ibu kota mengakui rasa nikmat dan kesyukuran menyambut Syawal di sini.

Ini kerana sebelum ini, dia yang menetap di Amerika Syarikat (AS) dengan keluarga tidak pernah merasai kemeriahan Hari Raya yang sebenar dan hal itu berlangsung selama lapan tahun lamanya sebelum dia dan ibunya kembali bermastautin di tanah air.

“Saya lebih banyak menyambut Krismas di sana jadi saya tiada kenangan bagaimana menyambut Hari Raya di AS. Yang saya ingat, setiap kali raya, saya dan ibu pasti menerima gambar dari kampung.

“Masa pagi raya di sana pun, yang saya ingat saya bangun, bersiap dan mak ajak bersalaman di pagi raya, saya diberikan duit raya dan kemudian melawat kawan mak. Masa itu saya masih kecil, jadi tak faham sangat apa erti raya kecuali ikut sahaja yang mak suruh.

“Apabila sudah dewasa ini barulah faham dan rasanya saya lebih bersyukur sekarang sebab dapat menyambut lebaran dengan cara orang kita,” katanya.

Mengakui sering merindukan kampung halamannya di Perlis, Sarah kadangkala terkenang kemeriahan beraya di kampungnya yang terkenal dengan keindahan sawah padi.

“Satu pengalaman yang menarik bagi saya sebab di kampung ada sawah padi, minum kopi o pekat-pekat, pendek kata seronok suasananya. Saya juga sukakan pengalaman balik kampung, naik kereta untuk perjalanan yang jauh dan lihat pemandangan sepanjang jalan,” katanya.

Gemar makan ketupat dicicah susu pekat, kata Sarah, itu juga antara kenangan yang pernah diajar oleh arwah datuknya semasa di kampung.

Tak saing Nabil

Beralih kepada cerita kerjaya, kata Sarah, selain berlakon dia kini juga semakin meminati dunia pengacaraan setelah diberi peluang mengendalikan program di Hypptv menggantikan Nadia Heng.

Menganggap serasi dengan jiwanya, kata Sarah, dia bukannya tidak suka berlakon cuma barangkali jiwanya lebih dekat dengan bidang pengacaraan yang disifatkan lebih santai dan kurang bebanan masa.

“Saya okey saja untuk berlakon dan boleh lakukannya. Cuma ada sebahagian daripada dunia lakonan itu yang menyebabkan saya rasa separuh hati. Sukar untuk saya katakan apakah perkara itu, cukuplah saya beritahu yang saya senang mengacara,” katanya.

Terkini, terlibat dalam penggambaran drama berjudul Karma Cinta, kata Sarah, dia juga banyak menerima tawaran untuk peragaan termasuk kini menyandang tugas sebagai duta untuk rangkaian jenama Jubah Souq.

Sengaja mengusik apakah dia mahu bersaing dengan kekasihnya Nabil, akui Sarah, dia tidak terfikir tentang itu kerana sedar pengalamannya masih hijau dalam bidang pengacaraan.

Pun begitu, dia bersyukur kerana Nabil banyak memberi tunjuk ajar dan tak lokek berkongsi tips untuk menjadi pengacara yang berkualiti.

“Ada juga yang bertanya, adakah saya teringin nak jadi macam pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari memandangkan saya dan Nabil kini sama-sama mengacara.

“Saya katakan mengapa tidak. Lagipun Scha dan Awal memang bagus dan tak salah kalau dijadikan sebagai contoh kerana mereka berbakat dan serasi bersama,” katanya.

Raya cara Nabil

BERASAL dari Kuala Lumpur, seperti kebiasaannya Nabil cuma menyambut lebaran di ibu kota. Mementingkan elemen kekeluargaan, Hari Raya bagi Nabil amat bererti andai dapat bersama-sama keluarga selepas sibuk dengan kerjaya dan rutin kehidupan masing-masing.

“Semakin kita dewasa, kadangkala kita lupa untuk bertemu kerana alasan kesibukan kerja dan sebagainya.

Saya juga begitu, jadi Syawal adalah masa yang ditunggu-tunggu untuk bertemu dan meraikan bersama-sama mereka.

“Cuma bagi saya, saya kurang setuju kalau dikatakan masa Hari Raya ini kita saling meminta maaf kerana kita boleh berbuat demikian walaupun bukan ketika Syawal.

“Kita diberi nikmat dan peluang daripada Tuhan untuk sentiasa memohon maaf setiap hari, bukannya pada hari-hari tertentu sahaja. Jadi mengapa perlu tunggu Hari Raya untuk meminta maaf?

“Mati pun boleh menjemput kita pada bila-bila masa, jadi bagi saya, usah tunggu. Bukalah ruang kemaafan dan mohon maaf sentiasa kerana setiap hari adalah satu peluang,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang menyambut Hari Raya dengan buah hatinya turut mengakui, sejak menginjak dewasa, tumpuannya tidak terlalu kepada sambutan perayaan sebaliknya lebih kepada Ramadan.

“Dulu masa kecil, saya selalu tunggu nak raya. Biasalah masa itu kita fikir nak dapat duit raya saja selain fikir tak perlu puasa lagi.

“Tetapi apabila dewasa, saya lebih menantikan Ramadan kerana bulan itu lebih penting dan mulia. Bila Ramadan sudah meninggalkan kita dan berganti Syawal, saya akui lebih terasa sedih kerana pada Ramadanlah banyak manfaatnya dari segi ibadah,” katanya.