Biarpun ini merupakan filem arahan kesembilannya namun Syamsul mengakui, debaran untuk kembali ke kerusi sutradara seolah-olah seperti mengarah filem sulung.

Lebih-lebih lagi filem yang turut dilakonkannya itu merupakan sebuah filem seram yang menonjolkan elemen keagamaan.

Mengambil masa selama dua bulan untuk menyiapkan skripnya, Munafik merupakan filem seram kedua arahan Syamsul selepas Khurafat yang berjaya mendapat kutipan sebanyak RM8juta.

“Filem ini penuh dengan elemen Islamik dan tentunya saya tidak boleh ambil mudah dan harus peka dengan sensitiviti masyarakat. Jadi, saya perlu ambil masa untuk mengkaji ayat-ayat al-Quran.

“Saya juga ada merujuk beberapa ustaz dari segi hal hukum hakam selain kerap menghadiri ceramah agama untuk menambahkan ilmu dan mendapatkan input untuk filem ini.

“Secara tidak langsung dalam tempoh mengumpul idea dan menghasilkan skrip Munafik ini, saya juga banyak menimba ilmu agama sekaligus menjadikan saya seorang yang berubah ke arah yang lebih baik,” katanya yang hadir dengan isterinya, Putri Sarah Liyana pada majlis pelancaran filem tersebut di ibu kota baru-baru ini.

Humor

Menariknya, kata Syamsul, biarpun bergenre seram dan diisi dengan pendekatan Islamik, Munafik turut menyelitkan unsur humor dengan gaya persembahan yang baharu dan bermotivasi bertujuan untuk menarik minat golongan muda.

“Penonton sekarang sudah bijak, sudah tiba masanya pengarah muda untuk memberi kelainan. Selepas Khurafat, ramai yang bertanya, bila nak buat filem seram lagi.

“Jadi, apabila saya mahu menghasilkan Munafik, tentunya jangkaan penonton terhadap filem ini tinggi dan saya perlu buat lebih baik lagi,” ujarnya.

Melakonkan watak sebagai Adam seorang ustaz dan pengamal perubatan Islam yang dikurniakan kelebihan kerana setiap pesakit yang mengalami ‘gangguan’ berjaya diubati mengikut cara perubatan Islam.

Bagaimanapun kebahagiaan yang dikecapi Adam bersama isterinya, Zulaikha dan anak tidak bertahan lama apabila terlibat dalam satu kemalangan ngeri.

Kematian isterinya telah mematahkan semangat Adam untuk meneruskan tanggungjawab sebagai pengamal perubatan Islam. Adam juga bagaikan tidak mampu menerima qada dan qadar Tuhan selain keimanannya mula tergugat.

Selain Syamsul, Munafik yang menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur dan Janda Baik, Pahang itu turut dibintangi Nabila Huda, Sabrina Ali, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim, A.Galak serta Rahim Razali yang buat pertama kali berlakon di bawah arahan Syamsul.

Serik

Dalam pada itu Syamsul mengakui, dia ‘menghilangkan diri’ daripada dunia perfileman tanah air kerana kecewa dan serik dengan peristiwa hitam filem KL Gangster 2 yang dicetak rompak sebulan sebelum tarikh tayangan.

Bagaimanapun apabila ramai peminat yang bertanyakan kepada bila dia mahu menghasilkan karya baharu, hatinya mulai reda dan kembali bersemangat.

Malah katanya, peminat mahukan dia kembali mengarah karya seram kerana ramai meminati hasil kerjanya dalam filem Khurafat yang turut mendapat perhatian penonton di Indonesia apabila ditayangkan baru-baru ini.

Filem-filem lain yang diarahkan Syamsul adalah Evolusi KL Drift, Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi Kl Drift 2, Khurafat, KL Gangster, Aku Bukan Tombay dan Jalan Kembali (Bohsia2).