SYAHRINI
SYAHRINI

“Belum ada (lelaki) yang me­ng­ajak saya bernikah seper­ti diperkatakan. Bukan sahaja yang berasal dari Malaysia tetapi juga dari negara lain.

“Jadi (saya) tak mahu fikir yang bukan-bukan. (Mereka) mungkin ada niat tetapi sebenarnya mahu bertemu de­ngan saya ini (pun) susah,” kata Syah­rini kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di Jakarta, Indonesia semalam.

Khabar angin mengatakan Syahrini sedang menjalin hubu­ngan cinta dengan seorang lelaki dari golongan kenamaan tersebar luas sejak promosi Konsert Nova 2017 dijayakan dua bulan lalu.

Ia penampilan pertama Syahrini sebagai artis utama dalam konsert terbuka di Malaysia. Dalam konsert sama, pemilik nama sebenar Rini Fatimah Jaelani itu akan bergandingan dengan Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Azlan & The Typewriter selain Judika dan Cakra Khan.

Konsert Nova 2017 yang dianjurkan syarikat Suasana Enak Sdn. Bhd. itu bakal berlangsung selama dua jam di Shah Alam, Selangor pada 5 Ogos ini.

Sebelum ini, Syahrini yang terkenal dengan kehidupan serba mewah pernah menggemparkan industri hiburan Indonesia apabila dikatakan bercinta dengan kerabat Selangor, Raja Mohammad Syazni Raja Mohammad Rashid atau lebih dikenali sebagai Bubu, lima tahun lalu.

Bagaimanapun percintaan itu dikhabarkan putus kerana masalah persefahaman antara mereka.

Syahrini sebelum ini pun turut dikaitkan bercinta dengan Anang Hermansyah yang merupakan suami kepada Ashanty dan seorang warganegara Singapura yang dirahsiakan identitinya.

Kehidupan sosial Syahrini dan kegilaannya kepada fesyen jenama terkenal juga dikaitkan dengan kontroversi pemilikan jet peribadi dan beberapa aset mewah yang menyebabkan banyak pihak tertanya-tanya siapakah gerangan individu yang ‘menajanya’ selama ini.

Bagaimanapun Syahrini menegaskan dia sama sekali tidak bergantung kepada pihak lain sebaliknya apa yang diperolehnya sekarang adalah hasil titik peluhnya sendiri.