Saleem

Menolak tanggapan segelintir pihak yang menuduh dia sudah ‘membuang’ anaknya itu, Saleem, 56, menegaskan, semua itu merupakan salah faham yang perlu segera diperbetulkan dan meminta supaya masyarakat tidak terus menghukum dia dan isteri, Julia Bachok, 53.

“Anak tetap anak. Dia tetap anak saya, walaupun apa yang terjadi. Kalau ada yang membuat tuduhan saya sudah membuang anak, itu salah sama sekali. Mereka tetap darah daging saya sampai bila-bila,” tegas Saleem.

Menurut vokalis kumpulan Iklim ini, dia tetap memberi sokongan kepada Syafiq setelah anak muda itu memberitahu mahu mengikuti jejak langkahnya sebagai penyanyi pada awal tahun lalu.

“Apabila dia hendak jadi penyanyi, saya beri galakan dan nasihat, malah saya yang mencadangkan kepada dia supaya bernaung di bawah syarikat MVM Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat induk kepada syarikat rakaman naungan saya sendiri, Rusa Music.

“Jadi, kalau saya ‘buang’ dia, tidak mungkin saya menolong dia sampai mampu bergelar artis rakaman hari ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Terdahulu melalui video yang tular awal minggu ini, Saleem dan isteri telah ‘menyerang’ syarikat rakaman MVM Sdn. Bhd. yang juga merupakan syarikat yang menaungi anaknya itu.

Syafiq Farhain
Syafiq Farhain

Beberapa isu dibangkitkan oleh mereka termasuklah isu tidak membenarkan anaknya untuk menyanyikan lagu popular miliknya.

Berdasarkan video yang sudah ditonton lebih setengah juta kali itu, Saleem dan isteri teruk dikecam sehingga menyebabkan mereka tertekan.

Namun begitu, Jumaat lalu mereka hadir dan meminta maaf serta mengharapkan kemelut yang tercetus segera berakhir.

Pun begitu, sebagai bapa tentu sahaja dia mahu Syafiq belajar banyak perkara untuk bergelar artis popular.

Saleem juga mahu Syafiq melalui pahit getir untuk berjaya seperti mana yang sudah dilalui olehnya sejak tiga dekad yang lalu.

“Saya mahu dia berusaha sendiri tanpa menumpang populariti sesiapa. Saya percaya kepe­ritan dilalui itu akan membuatkan dia lebih kuat dan menjadi penyanyi hebat pada masa depan,” katanya.