Berkata kepada Utusan Online, pelakon utama karya arahan Waan Hafiz itu tidak menjangkakan sukan luncur air yang diangkat sebagai tema filem tersebut hampir meragut nyawanya selepas tangannya kekejangan.

“Setiap pelakon menjalani latihan intensif di Bali untuk menjayakan watak masing-masing. Sebelum ini saya langsung tak pernah tahu cara bermain papan luncur air.

“Usai melakukan babak meluncur, ketika hendak kembali semula ke pantai, ombak yang besar menyebabkan saya berhadapan kesukaran untuk mengayuh.

“Tangan pun semakin lenguh, lalu membuatkan saya keletihan serta kehilangan tenaga. Syukur saya gigihkan juga untuk kayuh perlahan-lahan untuk sampai ke darat,” katanya kepada Utusan Online.

Diterbitkan oleh GSR Production dengan kos pembikinan melebihi RM1 juta, Surf This Love turut menampilkan barisan pelakon seperti Critina Suzanne, Pekin Ibrahim, Josiah Hogan, Ardell Aryana, Mustaqim Bahadon dan Syuhaida Abraz.

Sementara itu, Waan Hafiz memberitahu, pemilihan untuk mengetengahkan sukan luncur air adalah keputusan penerbit sendiri dalam memberi kelainan dan dia menjadikan elemen tersebut sebagai kosmetik terhadap keseluruhan filem.

“Saya cuba sulamkan tema sukan air itu dengan elemen persahabatan dan kekeluargaan bagi menyuntik emosi dalam kalangan penonton.

“Mudah-mudahan formula ini dapat memenuhi cita rasa penonton,” katanya sejurus tamat tayangan perdana yang diadakan di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain menjalani penggambaran di Bali, filem tersebut juga memilih keindahan semula jadi di Pulau Tioman, Pahang sebagai latar belakang untuk dipaparkan.

Di samping mempertaruhkan sinematografi menarik dengan panorama indah, lakonan bersahaja para pelakonnya yang disulam madah skrip berpuitis dilihat menjadi kekuatan Surf This Love: Gelora Juara. - UTUSAN ONLINE