Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Suntik semangat kemerdekaan

Sebahagian hadirin yang hadir memeriahkan Malam Puisi Negaraku 6
Sebahagian hadirin yang hadir memeriahkan Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa malam Jumaat lalu.

MEMASUKI tahun ketiga penganjurannya, Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kumpulan Utusan dan Jabatan Penerangan tidak dinafikan semakin matang.

Majlis yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak ( Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor malam Jumaat lalu turut dipenuhi hampir 1,000 penonton yang menjiwai setiap bait puisi yang dideklamasikan.

Yang lebih menarik, majlis tahunan yang sebelum ini dikenali sebagai Bintang–Bintang Berpuisi turut menyaksikan penglibatan Jabatan Penerangan.

Memilih sambutan Hari Kebangsaan sebagai tema, tentunya penganjuran tahun ini juga masih mengekalkan momentum yang sama untuk memperkasakan bidang kesusasteraan negara.

Lebih meriah kejayaan negara pada Sukan SEA ke -29 minggu lalu terus menyuntik semangat cintakan negara bukan sahaja dalam kalangan pendeklamasi tetapi juga tetamu yang hadir.

Tentunya yang menjadi tumpuan pada malam itu adalah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan yang membawakan puisi yang cukup menyentuh jiwa hasil ciptaannya sendiri berjudul Senandung Bonda Kandung.

Antara kandungan puisi ini adalah nasihat seorang ibu kepada anak untuk menjadi bangsa yang berguna, tidak ketinggalan mengingatkan khalayak agar tidak terpengaruh dengan agenda luar yang mahu menjajah negara ini.

Turut mendapat tepukan gemuruh pada malam itu adalah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali yang menyampaikan puisi bertajuk Jiwa UKM Jiwa Merdeka.

Antara yang turut mencipta kelainan pada malam adalah bacaan puisi oleh tiga tenaga pengajar UKM iaitu Prof. Madya Dr. Ashinida Aladdin, Dr. Suzianna Mat saad dan Hasnoor Shima Ahmad Hassan yang memilih untuk membacakan puisi dalam tiga bahasa berbeza.

Mereka memilih puisi-puisi karya tempatan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Perancis dan Jerman.

Tidak sekadar bacaan puisi, tarian tradisional oleh kumpulan artis Pentarama, Jabatan Penerangan dan Pusat Seni Kebudayaan UKM (Puskeb) turut menambahkan lagi kemeriahan acara pada malam itu.

Dipancarkan secara langsung melalui laman sosial Utusan Online tentunya Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa berjaya mencapai tujuan utamanya dalam memastikan puisi terus kekal menjadi nadi seni negara kita.

Dalam mengimbangi hiburan pada majlis itu tiga penyanyi popular tanah air, Tomok, Azharina Azhar dan Ippo Hafiz turut memeriahkan acara dengan menyampaikan lagu- lagu pilihan yang turut memukau penonton yang berada dalam dewan.

 

 

Kali pertama terbabit dalam acara seperti ini, Ippo Hafiz akui teruja.

Pengalaman itu, jelasnya, memberi makna kepada dirinya memandangkan ini adalah salah satu usaha dalam memastikan seni dan karya puisi akan terus dapat dinikmati generasi muda.

“Memang saya teruja apabila mendapat jemputan untuk menghiburkan mereka yang hadir. Sebagai penyanyi selalunya saya berada dalam majlis-majlis hiburan sahaja.

“Tetapi kali ini berbeza malah selain menyanyi dan menghiburkan tetamu, saya dapat menikmati hasil bacaan puisi yang cukup menyentuh perasaan. Sebagai generasi muda saya mahu acara seperti ini diteruskan,” katanya.

Menurut Hafiz, gabungan acara seperti ini mampu memberi lebih peluang untuk khalayak menghargai nilai seni bangsa.

“Puisi adalah antara seni untuk masyarakat memperkatakan mengenai sesuatu isu. Bagaimanapun bukan mudah untuk menganjurkan acara mega seperti ini memandangkan pelbagai acara hiburan lebih menarik perhatian generasi kini.

“Justeru saya mahu sampaikan ucapan tahniah kepada pihak akhbar Utusan Malaysia, UKM dan Jabatan Penerangan. Saya berharap agar acara ini dapat diteruskan pada setiap tahun. Ini adalah satu usaha yang baik dalam memastikan seni ini tidak dilupakan,” katanya.

 

Tomok halusi seni puisi

Melihat puisi sebagai antara cara paling halus lagi berseni untuk menyampaikan nasihat kepada generasi muda, Tomok berharap agar majlis seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Kalau mahu diikutkan memang jarang kita berada dalam majlis-majlis seperti ini. Bagaimanapun tidak dinafikan ini adalah suatu usaha yang bagus sebenarnya dalam memberi pendedahan kepada generasi muda kita.

“Bagi penonton yang hadir juga saya harap dapat memanfaatkan ilmu pada malam ini dalam menjiwai sendiri tema Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai lagu-lagu puisi, Tomok tidak berselindung memberitahu, dia mempunyai niat untuk dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu puisi suatu hari nanti.

“Saya antara peminat lagu puisi sebabnya lagu-lagu begini sangat indah dengan setiap lontaran kata-kata dalam lagu seperti ini mempunyai makna yang cukup mendalam dan mampu memberi impak.

“Mungkin suatu hari nanti juga saya akan menyanyikan lagu-lagu puisi seumpama ini,” katanya.

 

Azharina Azhar mahu hidupkan kembali lagu puisi

Dibesarkan melalui seni indah begini, bagi penyanyi kelahiran Sabah, Azharina Azhar, dia tidak menolak puisi adalah antara cinta pertamanya dalam dunia seni.

Katanya, sejak kecil dia sudah aktif menjadi pendeklamasi. Malah sehingga hari ini juga dia sangat gemar menyanyikan lagu-lagu puisi yang baginya mempunyai nilai berbeza.

“Puisi adalah suatu cara untuk kita berkongsi perasaan terhadap sesuatu, melalui puisi juga kita mampu memberi pengertian tersendiri terpulang kepada individu itu sendiri.

“Bagi saya yang dibesarkan dengan seni puisi, tentunya lagu-lagu puisi adalah sesuatu yang sangat dekat dengan saya.

“Ada perbezaan yang dapat kita rasa melalui lagu-lagu ini yang bagi saya tidak semua orang dapat hasilkan,” katanya.

Melihat bagaimana puisi semakin terhakis dalam jiwa anak bangsa, Azharina berharap usaha yang diambil pihak Utusan Malaysia ini dapat diteruskan.

Katanya adalah sesuatu yang membanggakan untuk dirinya juga dapat terlibat dengan Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa.

“Apabila saya dapat jemputan untuk menyanyi di majlis ini, yang terlintas dalam fikiran saya adalah ini suatu penghormatan.

“Tentunya secara tidak langsung saya membantu usaha pelbagai pihak ini untuk memastikan seni puisi untuk terus relevan.

“Harapnya acara ini akan diteruskan memandangkan kita tahu kedudukan seni ini semakin dilupakan terutamanya oleh generasi muda kita,” katanya.

Malah Azharina menyimpan hasrat untuk sama-sama berganding bahu memartabatkan acara seperti ini.

“Sebenarnya masih ramai pengkarya yang menghasilkan lagu puisi buat pendengar. Jadi ambil waktu untuk menghargai muzik ini dalam memastikan kita tidak lupa akan warisan bangsa kita.

“Pada masa yang sama juga saya akan terus menyanyikan dan menghasilkan lagu-lagu puisi yang tentunya mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan