KUALA LUMPUR 29 MAC 2018 - Sesi fotografi bersama pelakon, Natasya
 

Satu kenyataan menyakitkan yang harus diterima oleh Natasha Elyzza, kerana Bigo, sekelip mata sahaja segala nikmat dan rezeki pekerjaannya hilang begitu sahaja. Hampir tujuh bulan tidak mempunyai sebarang tawaran lakonan, dia yang mesra dipanggil Tasha, sungguh begitu menyesali segala kelakuan di luar batasnya. Sementelah maruah diri juga sudah terjejas teruk, namanya tercalar lebar, dia terjerat dalam penyesalan.

Berusia 24 tahun, Tasha tidak menyangka dia membunuh kerjayanya di tangan sendiri gara-gara ceteknya akal dan jahilnya perbuatan walaupun asal punca hanya mahu bersuka-suka di ruang media sosial.

Barangkali terlalu mahukan perhatian ramai apalagi di zaman ini semua orang mahu menjadi 'seseorang' dan dikenali atas platform populariti.

Tidak menolak banyak impak negatif diterima bahana itu, satu demi satu musibah menghimpit diri Tasha. Malah mahu tidak mahu, dia sedar dirinya tetap harus berjalan ke hadapan di samping berusaha memperbaiki kehidupan.

“Isu itu membuatkan ramai bimbang mahu ambil berlakon kononnya takut saya buat hal. Ada antara alasannya pihak stesen televisyen menolak nama saya kerana kononnya isu itu masih segar lagi.

“Tipu kalau saya katakan hal seperti ini tidak membunuh kerjaya. Saya akui, jatuh terduduk juga kerana kontroversi ini,”katanya.

Tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, Tasha sedar, segala kesalahan itu datang daripada dirinya sendiri yang gagal menggunakan akal untuk berfikir secara rasional.

“Tak nak dengar cakap orang inilah padahnya. Saya degil tak mendengar nasihat orang dan gagal mengawal diri sedangkan ada banyak lagi cara lain untuk berseronok.

“Saya sedar apa yang dilakukan itu adalah satu perbuatan bodoh! Bodoh sangat! Tetapi, saya terima natijahnya, itu semua pengajaran dan kalau Tuhan tak sayangkan saya, dia tak kurniakan dugaan seperti itu.

“Kalau tidak, di masa depan entah-entah banyak lagi perkara bodoh yang mungkin akan saya lakukan tanpa sedar seterusnya merosakkan nama sendiri,”katanya.

Kekasih menghilang

BERUSAHA memperbaiki diri ke arah lebih baik, Tasha akui sebenarnya amat sukar untuk memadam persepsi masyarakat apalagi sebelum ini pernah terpalit dengan isu membabitkan bahan terlarang dan dia adalah mangsa penganiayaan.

Sedih dengan pelbagai gelaran dan kutukan terhadapnya, Tasha enggan terlalu melayan ‘luka’ itu dan mahu terus diberi peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

“Ada yang komen dan menghasut agar saya tidak diberikan tawaran berlakon. Kononnya perempuan macam saya ni tak patut ada dalam indusri, teruk, bermasalah dan sebagainya.

“Benarlah apa yang diperkatakan, buat baik orang tak nampak, buat jahat sekali, 100 tahun pun masih ada yang akan mengungkit walaupun kita sudah berubah dan menyesali perbuatan itu.

“Tak apalah, saya reda dan tetap akan berusaha. Satu yang saya pegang, rezeki pasti akan ada, lambat atau cepat, cuma saya perlu bersabar,”katanya yang tidak pernah putus harap dalam bidang seni.

Berkongsi mengenai hikmah kontroversi, Tasha bersyukur kerana kejadian itu membuka matanya untuk mengenali siapa sahabat sebenar.

Turut kehilangan kekasih hati, Tasha melihat betapa besarnya hikmah di mana dia sedar lelaki tersebut ternyata bukanlah yang terbaik untuk dirinya.

“Bayangkan, dalam keadaan saya terduduk seperti itu, orang yang sepatutnya memberi sokongan kepada saya bersikap sebaliknya. Malah lebih teruk, turut memburuk-burukkan saya.

“Mujurlah ada teman-teman baik yang sentiasa ada di sisi. Sehingga kini, merekalah yang banyak menegur dan menasihati supaya saya tidak merosakkan diri,”katanya.

Gaduh dengan Fathia?

Ditanya mengenai persahabatannya dengan Fathia Latiff, Tasha yang mengaku baru sahaja mengenali pelakon itu ketika tularnya video seksi itu bagaimanapun menganggap masing-masing sudah membawa haluan sendiri.

Tidak bermusuh, namun katanya selepas insiden itu, entah mengapa Fathia juga sudah tidak menghubunginya lagi meski sebelum itu kedua-duanya pernah keluar bersama.

“Selepas video itu tular, saya dengan dia sempat rapat sekejap tetapi kemudian dia pun macam buat hal sendiri. Tak pernah saya tanya kenapa kerana menganggap masing-masing sudah dewasa dan terpulanglah mahu berkawan dengan sesiapa.

“Tak tahu apa sebab Fathia buat begitu, tetapi jujurnya saya memang tiada masalah dengan dia. Elok juga begini kerana sama ada dia atau saya, kami tidak hilang atau rugi apa-apa pun kalau tidak berkawan.

“Saya tetap akan kenang dia sebagai seorang kawan yang baik dan mendoakan kejayaannya dalam hidup,”katanya.