Tidak cukup dengan itu, Ainina dikatakan berkahwin dengan seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk dan menjadi isteri kedua.

Mengaku terkilan dan ‘letih’ apabila orang ramai seolah-olah percaya dengan perkahwinan yang tidak wujud itu, Ainina jadi bosan untuk menjelaskan hal sebenar.

Meskipun sudah beberapa kali dia menafikan, gosip itu seolah-olah sudah ‘sebati’ dengan masyarakat.

Menurut Ainina, sehingga ke hari ini masih ramai yang beranggapan dia sudah berkahwin sebagai isteri kedua secara senyap-senyap tanpa sebarang majlis.

“Saya belum berkahwin lagi dan solo. Selepas bercerai dengan Rahmat Mega, saya tidak pernah berkahwin walaupun banyak gosip bertebaran mengatakan saya bermadu dan menjadi isteri kedua sedangkan itu tidak benar sama sekali.

“Sejujurnya saya tahu siapa yang mereka-reka cerita tersebut. Dia seorang lelaki berpangkat Datuk dan menjalankan bisnes. Saya pernah bertanya kepadanya kenapa sebarkan cerita yang tidak betul dan boleh mengundang fitnah. Namun dia tidak mengendahkan hal itu.

“Saya sudah beberapa kali menjelaskan kepada Datuk itu yang saya hanya rakan bisnes dan sekadar berurusan soal kerja. Saya tidak pasti apa tujuan dia menyebarkan berita palsu itu.

“Saya sangat tidak selesa dengan gosip ini kerana dia sudah berkahwin. Hati perempuan mana tidak sedih kalau suami dikaitkan dengan wanita lain,” luah Ainina.

Malah dia berasa sangat terkilan apabila dituduh tidak menjemput saudara-mara terdekat pada hari bahagianya itu. Sebelum ini Ainina mengambil pendekatan mahu berdiam diri, namun cara itu tidak berkesan kerana berita kahwinnya tetap dipercayai ramai.

“Kesan daripada cerita ini, saudara mara saya terkilan kerana mereka anggap saya berkahwin senyap-senyap dan tidak menjemput mereka.

“Di sini saya ingin mengambil kesempatan mahu menjelaskan kepada semua, sumpah demi Allah saya belum berkahwin buat kali kedua. Tolonglah jangan percaya cerita palsu itu.

“Mungkin dia suka saya tapi dia tidak berhak menyebarkan berita palsu itu. Lagi pun dia sudah berkahwin dan kami hanya rapat atas urusan kerja. Saya pun tiada perasaan kepadanya. Mungkin kebaikan saya disalah tafsir,” kata Ainina dengan rasa kesal.

Mengakui dia tidak serik untuk berkahwin lagi, namun pengalaman silam berumah tangga mengajarnya untuk lebih matang dan berhati-hati dalam memilih pasangan.

“Apa yang saya lebih pentingkan adalah penerimaan bakal suami terhadap anak-anak saya. Mereka menjadi keutamaan saya ketika ini.

“Saya pun tidak mencari jodoh, biarlah ia datang sendiri. Saya bukan jual mahal atau cerewet, tetapi saya perlu berhati-hati,” katanya tegas.

Jaga anak istimewa

Ainina mengaku masih bersemangat menjalani kehidupan kerana dua orang `nyawanya’ iaitu anak hasil perkahwinan dengan bekas suami,  Nur Ariana Rahmat, 17, dan Nur Ara Elisha, 10. 

“Saya banyak korbankan tawaran yang kurang bersesuaian kerana mahu fokus terhadap anak kedua saya yang juga orang kurang upaya (OKU), Ara Elisha yang mengalami Pradar Willy Sindrome. 

“Dia mempunyai kecenderungan kuat makan dan tidak ada rasa kenyang. Ia agak berbahaya kerana dia sedang membesar. Saya perlu pantau segala apa yang dimakan olehnya.

“Dia boleh jalan seperti biasa tetapi kurang sempurna kerana tulangnya tidak kuat.  Saya pun tidak boleh harapkan pembantu rumah sepanjang masa. 

“Tambahan pula anak sulung bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada  tahun ini, jadi saya juga tidak mahu mengganggu dia bagi menjaga adiknya.

“Saya mahu dia lebih fokus kepada pelajaran demi masa depannya,” kata Ainina, anak kepada pelakon terkenal Ahmad B yang memulakan kerjayanya menerusi filem Mr. Os pada 1987. 

Bagi menampung kehidupan, selain berlakon dan berniaga barangan kosmetik, Ainina juga aktif bisnes makanan kering seperti peria rangup dan biskut-buatan sendiri. 

Dia antara selebriti yang membuka perniagaan ketika acara perlumbaan kereta GT berlangsung baru-baru ini di Sepang, Selangor.

Pelakon ini juga kini dilantik sebagai duta perabot Me Casa Interior yang menjual barangan rumah, dekorasi serta kraf yang dibawa khas dari Eropah.