Kedua-dua komuniti ini kemudiannya sering bergabung dan menganjurkan tayangan secara bulanan dengan menghidangkan filem-filem seperti Ballet Mecanique (Fernand Leger, Perancis, 1924) dan Battleship Potemkin (Sergei Eisenstein, USSR, 1925), serta filem-filem awal yang kurang diketahui umum.

Kejayaan kelab-kelab filem Perancis telah membawa kepada pembentukan Federation Francaise des Cine-Clubs pada tahun 1930-an, yang diketuai Louis Delluc, seorang sutradara dan pengkritik filem. Juga pada pertengahan era 1930-an, dengan penubuhan Cercle du Cinema oleh Henri Langlois dan Georges Franju, yang akhirnya menjadi Cinematheque Francais pada tahun 1936.

Selepas Perang Dunia II, kelab filem avant-garde Objectif 49, yang dipelopori Andre Bazin, penteori dan pengkritik filem Perancis, menjadi medan untuk tayangan, wacana, dan penulisan filem – yang akhirnya menginspirasikan sekumpulan pengkritik filem sehingga menjadi pengarah angkatan French New Wave.

Kelab-kelab filem Perancis begitu berpengaruh seluruh Eropah. Di Britain umpamanya, London Film Society telah ditubuhkan pada tahun 1925. Kelab ini mengadakan program tayangan filem-filem yang pelbagai bentuk dan genre, termasuk filem avant-garde, filem saintifik, dokumentari, dan filem cereka.

Filem-filem bisu dari Perancis, Jerman, dan Soviet yang sering dihayati, terutamanya karya-karya sentuhan pengarah Jerman seperti Hans Richter, Walther Ruttmann, G.W. Pabst, dan Robert Wiene, dan pengarah Soviet seperti Vsevold Pudovkin dan Sergei Eisenstein.

Bermula tahun 1929, tayangan mengambil tempat dalam ruang pawagam Tivoli Palace Cinema yang memuatkan 2,200 tempat duduk. Justeru kos untuk menyewa filem (dan disarikatakan dalam bahasa Inggeris) bermaksud yang yuran keahlian secara umumnya tinggi, sehingga juruteknik filem turut ditawarkan diskaun. Ini menandakan harapan kelab tersebut yang ingin berfungsi secara pedagogikal.

Gerakan

Nota-nota rinci bagi setiap program filem ditulis Ivor Montagu dan kelab pula menerbitkan beberapa jurnal perfileman, termasuk Close-Up (1927-1933), Cinema Quarterly (1932-1936), dan Film Art (1933-1937). Menerusi jurnal-jurnal ini, para ahli kelab dapat melibatkan diri dalam perbahasan penteorian filem yang awal.

Kelab ini dilaporkan sebagai memupuk dan bertanggungjawab melahirkan gerakan tertentu seperti British Documentary Movement, dengan beberapa figura berpengaruh (termasuk John Grierson) menghadiri tayangan filem.

Pada tahun 1955, Federation of British Film Societies mempunyai sebanyak 267 kelab filem sebagai ahli. Kelab-kelab yang sama muncul di Eropah seperti Filmliga di Belanda pada tahun 1927. Di Amerika Utara, kelab-kelab filem begitu popular di Kanada pada tahun 1930-an dan di AS bermula 1947 bila Amos Vogel menggerakkan Cinema 16.

Diinspirasikan daripada pemameran karya Maya Deren di muzium dan galeri seni, Cinema 16 yang berpusat di New York memulakan program tayangan filem-filem avant-garde, dokumentari dan pendidikan.

Ketika kemuncak kewujudan kelab ini, jumlah ahlinya mencecah 7,000 orang dengan tayangan mingguan dan bulanan di ruang pawagam yang lebih besar mencecah 1,600 tempat duduk. Pada era 1950-an, Cinema 16 telah mula melibatkan dalam aktiviti pengedaran filem.

Selain itu, Film Society of Lincoln Centre yang berpusat di New York City bermula 1969 merupakan kelab filem yang cukup berpengaruh hingga ke hari ini. Kelab filem ini sebenarnya merupakan salah satu daripada 11 organisasi residen di Lincoln Centre of the Performing Arts.

Kelab ini memfokuskan kepada filem-filem independent dan sinema dunia, serta menyokong dan menghargai pembikin-pembikin filem baharu. Kelab ini turut menganjurkan acara tahunan Festival Filem New York dan bertanggungjawab menerbitkan majalah perfileman dwi-bulanan, Film Comment.

Di Asia, rantau Asia Selatan menyaksikan penubuhan kelab filem yang menyemarak semenjak era 1950-an lagi. Sutradara tersohor Satyajit Ray merupakan individu pertama yang menggerakkan kelab filem pertama di India, Calcutta Film Society, pada tahun 1947.

Pada tahun 1959, Federation of Film Societies of India, telah dibentuk bagi menyelaras semua kelab filem di India, dari Calcutta, Delhi, Bombay (Mumbai), Madras (Chennai) hingga ke Patna, dengan Satyajit Ray dilantik sebagai Presiden.

Di Chennai, bermula 1981, Chennai Film Society telah dimulakan para pencinta tegar sinema dan graduan sekolah filem yang secara aktif menayangkan filem-filem antarabangsa, menganjurkan kursus-kursus apresiasi filem dan program retrospektif pengarah terkemuka, di samping menerbitkan majalah filem dalam bahasa Tamil, Salanam selama lima tahun.

Dengan kemunculan DVD, saluran TV satelit selain para ahlinya yang terlibat secara langsung dan aktif dalam pembikinan filem menyebabkan kelab ini akhirnya terkubur.

Kelab filem di Kerala pula dimulakan sutradara Malayalam terkenal, Adoor Gopalakrishnan, pada tahun 1965 dengan kelab pertama, Chirttalekha Film Society. Dengan inisiatif Adoor, pelbagai festival filem dianjurkan di pelbagai daerah, justeru menginspirasikan anak muda menubuhkan kelab-kelab filem di serata Kerala.

Kelab filem

Di Bangladesh, perkembangan pesat budaya filem bermula sekitar lewat 1980-an dengan kemunculan kelab-kelab filem sehingga terdapat lebih 20 kelab filem yang terkenal di seluruh Bangladesh.

Bangladesh Federation Film Societies telah dibentuk bagi menaungi kelab-kelab filem ini yang kebanyakannya lahir dari kampus universiti seperti Dhaka University Film Society (antara yang sangat aktif), Jagannath University Film Society, Chokh Film Society (Shahjalal University of Science and Technology), Chittagong University Film Society, dan banyak lagi.

Kelab-kelab filem ini cukup berpengaruh dalam menyemarakkan budaya filem di negara tertentu yang disebutkan tadi. Di samping itu, kelab-kelab ini merayakan sinema bukan arus perdana dan mengangkat filem sebagai seni.

Malah, kelab-kelab ini turut memperlihatkan aktiviti yang menggalakkan pelbagai bentuk amalan perfileman (dengan kemunculan gerakan filem dari French New Wave hingga Sinema Paralel India), selain membantu memperkasakan film studies sebagai satu disiplin akademik.

Tujuan dan matlamat mutlak kelab filem adalah pendidikan sebenarnya dengan mempromosi apresiasi filem dan membina khalayak masyarakat yang cine-literate (celik filem).