Benarkah orang yang kurang rupa tiada tempat di dalam industri? Benarkah industri hiburan hanya untuk mereka yang cantik dan kacak sahaja? Ini antara perdebatan yang dibangkitkan banyak pihak kepada Datuk A. Aida dek kerana kenyataan berani matinya itu.

Tidak cukup dengan itu ramai pula dalam kalangan peminat menghamburkan kata-kata kurang manis tanda tidak setuju. Beberapa nama artis popular juga memberikan pendapat pedih

 

menentang kenyataan wanita yang satu ini.

Namun masih ada yang bersetuju dengan kenyataan tersebut. Ini realiti yang perlu ditelan memandangkan industri hiburan dan paras rupa yang elok tidak dapat pisahkan. Kepada Pancaindera, A. Aida memberikan penjelasan.
 

Bagaimana keadaan semasa? Tengok keadaan teruk juga kena belasah dengan orang industri gara-gara kenyataan tersebut.

A. AIDA: Sebenarnya saya tidak kisah pun dengan kecaman daripada mana-mana pihak. Mereka perlu melihat kenyataan yang dikeluarkan itu daripada aspek yang lebih besar dan bukannya mengecilkan ruang lingkup untuk mencari salah. Bila bercakap benda yang benar, memang pahit untuk ditelan. Memang sudah menjadi kehendak industri perfileman dan drama tempatan yang mempertaruhkan formula sebegitu. Apa yang saya mahukan mereka memahami maksud dan kenyataan sebaik mungkin.

Tak terasa bersalah dengan kenyataan yang menyinggung hati banyak pihak?

A. AIDA: Saya memberikan kenyataan jujur sebagai seorang penerbit dan dalam masa sama tidak mahu bersifat hipokrit. Dalam hidup kita kena cakap benda jujur supaya semua orang dapat informasi yang tepat mengenai industri semasa. Produk seni adalah satu bisnes dan orang bisnes tak mahu rugi. Saya tetap dengan pendirian yang seorang pelakon perlu datang pakej lengkap. Mereka perlu ada rupa dan bakat.

Untuk yang tak ada rupa adakah mereka tiada tempat dalam industri?

A. AIDA: Jangan rumitkan lagi keadaan. Saya tak kata kalau kacak dan cantik tetapi tidak punya bakat tu, boleh dengan mudah diterima oleh penerbit.

Walaupun seseorang itu cantik kalau tiada bakat pun, tidak boleh pergi jauh juga. Samalah juga, kalau ada bakat tetapi tanpa rupa, tidak akan ke mana juga kerana kehendak industri sendiri perlu ada bakat dan rupa untuk pergi jauh. Cuma yang saya ingin tekankan, yang kita cari adalah yang punya pakej, bakat dan rupa. Dua ciri ini penting kalau nak pergi jauh dan saya bercakap bagi pihak produser yang memahami kehendak stesen TV. Kami orang berniaga dan perlu memenuhi kehendak pihak yang memberikan perkhidmatan.

Melihat kepada beberapa status yang dimuat naik oleh peminat, ramai mengecam sehingga mempersoalkan A. Aida tu cantik ke tidak? Walaupun gurauan kenyataan tersebut pedih juga untuk ditelan. Komen?

A. AIDA: Saya ambil sejarah sendiri. Saya bermula sebagai pelakon. Tetapi, saya pun jarang berlakon jadi heroin drama atau filem, kenapa? Sebab saya tidaklah secantik Ogy Ahmad Daud, Sofea Jane atau Melissa Saila. 
Tapi kemudian, apabila saya beralih ke dunia penerbitan, saya boleh dianggap sebagai antara penerbit yang berjaya. Kenapa? Kerana nak jadi penerbit tak memerlukan syarat perlu cantik, jadi saya boleh berjaya dan bersaing dalam bidang penerbitan yang tidak memerlukan paras rupa yang cantik untuk ke depan.
Berbanding jadi pelakon utama yang menjadikan faktor fizikal dan kecantikan sebagai asas utama, untuk orang yang kurang cantik macam saya mungkin lebih baik.