Penyanyi popular, Hael Husaini, 31, turut berdepan situasi yang sama dalam soal membesarkan anak angkat perempuan, Nur Helena yang kini berusia setahun tiga bulan.

Perihal hubungan mereka apabila anak itu dewasa kelak menjadi persoalan yang kerap diajukan oleh netizen kepadanya.

Bagaimanapun bagi penyanyi yang terkenal dengan lagu Jampi ini, dia mengambil keputusan untuk menolak ke tepi semua perkara negatif itu dan hanya memikirkan hal positif terutama niatnya untuk menjaga dan menyediakan masa depan yang lebih baik buat seorang anak.

Tambahan pula, dia telah mendapatkan pandangan, tunjuk ajar dan nasihat daripada ahli agama mengenai perkara tersebut selepas dia mendapat hak penjagaan ke atas Helena.

“Sememangnya sukar untuk saya memberikan penjelasan satu persatu kepada semua orang berhubung soal ini.

“Yang mampu saya katakan, saya sudah pun merujuk kepada ustaz bagi meminta nasihat bagaimana untuk saya membesarkan anak angkat perempuan dengan cara yang betul,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hael menasihatkan golongan anak muda yang menyimpan hasrat untuk mengambil anak angkat agar tidak ragu-ragu dalam merealiasasikan niat itu.

Ini kerana, hidup dan rezeki seseorang itu pasti berubah sekiranya mereka memberikan sebuah kehidupan dan masa depan yang lebih baik kepada seorang anak kecil.

Hal itu juga sedang dialaminya meskipun pada awalnya dia berdepan isu kewangan sehingga kehadiran Helena yang mengubah segala-galanya.

“Ketika saya mengambil Helena, kedudukan kewangan saya hanya cukup-cukup untuk dia sahaja. Tapi saya beritahu diri yang rezeki itu saya boleh cari.

“Alhamduillah selepas Helena datang dalam hidup saya, memang rezeki itu hadir tanpa saya duga. Kehadiran Helena memberi satu keajaiban dalam hidup saya,” ujarnya.

Belajar banyak perkara

Membesarkan seorang anak tanpa isteri di sisi pastinya sukar. Namun berbeza dengan Hael yang menjelaskan bahawa dia tidak berdepan cabaran sepanjang lebih setahun menjaga Nur Helena.

Mempelajari banyak perkara tentang penjagaan bayi serta belajar menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab memudahkan Hael menjalani kehidupan sebagai bapa tunggal.

“Saya rasa waktu yang paling mencabar ialah pada hari pertama saya terima Helena. Ketika itulah saya banyak belajar untuk menjadi orang yang lebih bertanggungjawab.

“Apabila dia semakin membesar dan setiap hari bersama-sama, saya sudah tahu bagaimana untuk menjaga dan mengawal semua perkara. Seolah-olah saya semakin sebati dengan tugasan dan tanggungjawab seorang bapa.

“Sebab itulah bagi saya tidak ada masalah pun untuk membesarkan anak tanpa kehadiran isteri kerana saya tidak pernah jemu untuk belajar banyak perkara,” katanya.

Dia juga menerima kunjungan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap enam bulan sekali bagi melihat perkembangan anak angkatnya itu.

Selain itu juara Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) tidak pernah menganggap kehadiran Helena membuatkan dirinya melupakan soal jodoh.

“Selain rezeki yang hadir, saya juga sentiasa menunggu rezeki lain antaranya jodoh. Tetapi buat masa sekarang tidaklah saya sampai terkejar-kejar hendak memaksa diri mencari pasangan.

“Saya yakin perkara itu akan datang sendiri suatu hari nanti. Buat masa ini, lebih baik saya berikan ruang agar semua perkara itu terjadi secara semula jadi,” akhirinya.