Namun, rutin itu pasti tidak akan dapat dilakukannya lagi setelah pada awal bulan lalu, Faridah dijemput Ilahi disebabkan sakit tua. Pemergian wanita tersebut di kala memasuki usia senja benar-benar memberi impak mendalam terhadap hidupnya.

Berkesempatan bertemu dengannya pada Isnin lalu di pejabat Utusan Melayu, Isnin lalu, Talha tanpa segan silu menitiskan air mata lelakinya tatkala menceritakan kenangan suka duka bersama neneknya yang mesra dipanggil emak itu.

Memulakan cerita, Talha berkata, sehingga ke hari ini selepas seminggu kehilangan insan yang disayanginya itu, sukar untuk menerima takdir bahawa Faridah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Hari ini genap seminggu nenek meninggal dunia di rumah keluarga kami. Ketika itu saya berada di Kuala Lumpur, sibuk dengan aktiviti seni. Nenek tidak mengalami sebarang masalah kesihatan selain sakit tua tapi ada sesekali dia mengadu lenguh pada sendi-sendi badan dan kemudian kembali sihat seperti biasa.

“Pada hari terakhir hayatnya, mengikut kata kakak ipar yang berada di sisinya, arwah nenek tidak menunjukkan apa-apa tabiat pelik. Cuma dia tidur sepanjang hari dan berjaga hanya untuk makan atau minum serta solat.

“Selepas azan maghrib, nenek pergi buat selamanya dalam keadaan tidur. Begitu tenang,” tutur Talha sambil tangannya mengesat air mata yang bergenang.

Ironinya, Talha memberitahu, sebelum pemergian neneknya, dia kurang mendapat tawaran watak utama yang memerlukannya berada di set penggambaran dalam tempoh masa yang lama.

Sebaliknya hanya menerima tawaran sebagai pelakon pembantu atau undangan yang hanya memakan masa sehari dua.

“Rupa-rupanya, ia satu petanda buat saya. Jika saya terbabit dengan sesuatu produksi yang mengambil tempoh panjang di lokasi, pasti saya tidak berkesempatan untuk menziarahi jenazah nenek dan menguruskan kenduri tahlil atau sebagainya.

“Syukur Alhamdulillah, tamat sahaja penggambaran hari tu, nenek saya meninggal dunia keesokannya. Terus saya balik ke Johor Bahru untuk menguruskan segalanya sehinggalah genap tujuh hari pemergiannya. Walaupun tidak berada di sisinya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir, tetapi bersyukur kerana dapat berjasa ke atas jasadnya,” ujarnya menahan sebak.

Talha menambah, dia kini merancang untuk membuat catatan biografi mengenai arwah nendanya untuk diabadikan sebagai kenangan peribadi dan keluarga.

Bakal bergelar pensyarah?

Sementara itu, Talha ketika mengulas mengenai perkembangan terbaharu kerjayanya memberitahu, dia cuba memperlahankan rentak seninya memandangkan mempunyai perancangan untuk masa depan yang lebih baik.

Tidak mahu menjelaskan secara terperinci susun atur hidupnya yang telah dirancang, pemuda itu menjelaskan dia sedar kehidupan sebagai pelakon tidak terjamin andai gagal memanfaatkan sebaik-baiknya.

“Telah banyak cerita yang menunjukkan segelintir artis ketika hari tuanya hidup dalam keadaan daif sedangkan semasa muda, tawaran berlakon tidak pernah henti.

“Pengalaman sebegitu membuatkan saya sedar betapa pentingnya perancangan hari tua. Sebab itulah ketika muda ini saya mahu manfaatkan platform yang ada. Alhamdulillah, pendapatan yang diperoleh sepanjang lebih lima tahun menceburi bidang ini mengizinkan saya untuk mencorak masa depan yang lebih baik.

“Selain menubuhkan perniagaan salun kafe, saya mendapat tawaran untuk kembali bergelar tenaga pengajar di sebuah universiti swasta terkemuka tanah air. Sebelum ini saya pernah jadi warga pendidik. Berhenti seketika untuk fokus dalam bidang seni dan kini tiba masanya untuk berkongsi pengalaman yang ada bersama golongan lain. Walaupun tidak sepopular atau sehebat mana, peluang ini jarang diperoleh dan mencuba yang terbaik untuk menggalas amanah tersebut,” katanya.

Pun begitu katanya, dia cuba menyesuaikan jadualnya kelak untuk terus aktif berlakon kerana kerjaya seni itu mampu dijadikan bekalan untuknya terus berbakti kepada anak bangsa.

Dua bisnes dalam satu

Dalam kesibukannya berlakon beberapa drama serta telefilem, pada masa yang sama Talha giat mencari tapak atau premis bersesuaian untuk membangunkan perniagaan berkonsepkan dua dalam satu.

Merancang untuk membuka salun kafe miliknya sendiri, ia sebenarnya mendapat idea atau ilham untuk menjadikan premis itu kelak sebagai sebuah studio penggambaran.

“Ia ibarat menjalankan dua bisnes dalam satu premis. Ia akan direka bentuk menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman yang mampu mewujudkan tiga atau empat set berbeza yang menyerupai ruang tamu, ruang pejabat, bilik tidur atau kafe mini.

“Pada masa yang sama, kesemua set tersebut digunakan untuk bisnes salun rambut. Maksudnya, pelanggan akan mengalami pengalaman menggunting atau merawat rambut di sebuah set lain daripada yang sering dilihat dalam sesebuah salun.

“Kalau mereka mahukan rambut digunting di ruang tamu, pelanggan boleh memilih set tersebut atau apa jua ruang yang dimahukan. Itulah keunikan salun kafe yang kini masih dalam pembikinan,” terang Talha secara terperinci.

Bagaimanapun, menurut pelakon siri Plan B itu, dia mengalami kesukaran untuk mencari premis dengan keluasan bersesuaian bagi menjayakan perancangannya itu.

Katanya, premis yang telah dilawatinya sebelum ini mempunyai keluasan terhad, sukar untuk direalisasikan mengikut keinginan dan kehendaknya.

“Alhamdulillah, modal dah mencukupi, cuma perlukan tempat serta lokasi strategik untuk memulakan bisnes ini. Tambahan pula, sepanjang pengalaman saya bergelar pelakon, produksi mengalami masalah untuk mencari set penggambaran sesuai dalam satu tempat.

“Sebab itulah timbulnya idea untuk menjalankan perniagaan ini. Lagipun, bisnes studio masih baharu di negara ini dan kurang pesaing. Memang dah ada yang memulakannya dan tidak salah untuk saya menceburinya juga,” jelasnya.