Biarpun kekangan masa membuatkan mereka jarang berjumpa namun andai terpalit cerita kontroversi, pastinya masing-masing hadir menyuntik semangat.

“SAYA sudah menjadi ibu tunggal sejak tujuh tahun lalu.” Demikian tegas pelakon Tengku Sarina Tengku Mukhzani atau Kuna berhubung status dirinya yang disifatkan kurang bernasib baik dalam rumah tangga.

Pun begitu pelakon berusia 42 tahun ini menegaskan bahawa dia tidak terlalu memikirkan soal jodohnya yang tidak panjang itu.

Sebaliknya dia merasakan golongan ibu tunggal sepertinya perlu bangkit memperjuangkan nasib diri dan masa depan anak-anak.

Justeru fokus Kuna pada hari ini adalah mahu memastikan ketiga-tiga anaknya iaitu Nik Mohd. Hakimi, 19, Nik Mohd. Haikal, 15, dan Tengku Puteri Nur Elysha, 10, mendapat pendidikan yang terbaik.

Malah dia mengakui tidak mungkin membenarkan anak-anaknya terjerumus dalam bidang yang sama.

“Biarlah saya seorang saja yang tahu tentang susah payah bekerja dalam bidang penuh mencabar ini.

“Lagipun bayaran untuk pelakon tidak pernah berubah dari dulu. Bayaran yang ditawarkan oleh stesen televisyen swasta kepada penerbit drama antara RM80,000 hingga RM85,000.

“Kebanyakan penerbit memperoleh keuntungan untuk sebuah drama sekitar RM3,000. Itu belum lagi gaji pelakon yang tidak menentu,” ujarnya.

Mahu sesuatu yang boleh menjamin masa depan kewangan yang kukuh buat keluarga, Kuna memilih untuk menceburi bidang perniagaan.

Menerusi syarikat miliknya, Al Furqan Sdn. Bhd., Kuna kini menghasilkan ramuan Kopi Huru yang daripada sejenis herba khazanah negara iaitu cendawan susu harimau.

Selain itu kata Kuna, dia aktif dalam Gagasan Tranformasi Anak Seni (GTAS) yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggalakkan pembabitan anak seni dalam bidang perniagaan.

“Nasib penggiat seni ini umpama roda. Kita tidak boleh terlalu bergantung pada rezeki lakonan. Kena bijak mengatur kewangan dan mencari peluang,” katanya sambil memberitahu GTAS telah ditubuhkan awal tahun dan mempunyai 17 jawatankuasa yang terdiri daripada pelakon Anne Abdullah, Dila Ahmad, Riezman Khuzaimi dan Ainina Ahmad B.

Wawasan Kuna

Hati bertambah tenang sejak bertudung, itu perasaan yang dirasai Tengku Sariza Tengku Muzani atau Kuza sejak mengambil keputusan untuk bertudung pada Ramadan tahun lalu.

Mengakui penghijrahannya itu atas kesedaran sendiri tegas pelakon berusia 41 tahun ini, dia juga mahu sesuatu yang baik terjadi pada akhir kehidupannya.

“Kalau saya tidak berubah ke arah kebaikan pada usia saya sudah menjejak 40 tahun, itu bermakna saya berada dalam keadaan tanpa hala tujuan sehingga hujung nyawa.

“Jadi apabila timbul kesedaran itu, saya menjadi seorang pemikir. Macam mana dengan nasib saya di alam barzakh nanti. Itu yang saya nekad untuk berubah,” katanya.

Demi melengkapi kekurangan diri, Kuza kemudiannya mendalami ilmu agama Islam dengan mengikuti ceramah dan kelas bimbingan guru agama bertauliah setiap hari.

Kata Kuza, semakin banyak dia mempelajari tentang agama Islam, semakin dia merasakan dirinya jahil. Itu yang membakar semangatnya untuk menjadi muslimah sejati.

“Daripada tidak fasih membaca al-Quran, akhirnya saya dapat menguasai melalui pembacaan setiap hari. Kalau tak baca al-Quran pada hari ini, saya perlu memastikan keesokan harinya kena baca.

“Jika ada kelapangan saya layari laman YouTube untuk memperluaskan pengetahuan hukum agama menerusi kuliah agama ustaz di situ,” ujar ibu kepada Nik Zamfirdaus, 20, Nik Puteri Nur Nazihah, 19, dan Puteri Nadia, 9, ini.

Membuka topik penjagaan diri, Kuza memberitahu bahawa dia sangat mementingkan soal kesihatan untuk mempermudahkan ibadah harian.

Malah Kuza menegaskan bahawa kesedaran tentang penjagaan tubuh badan itu penting bagi wanita yang sudah berusia bagi mengelakkan daripada sebarang penyakit.

“Saya sedar badan semakin berat selepas melahirkan anak ketiga. Saya berdiet tapi tetap badan naik. Itu yang membuatkan saya nekad ke gimnasium.

“Selama tiga bulan saya berlari di treadmill sebelum masuk kelas tarian dan senaman khusus di bahagian perut,” katanya lagi.

Hijrah

lebih tenang

– Kuza

MENGULAS tentang fokus hidup Tengku Sariwani Tengku Muzani atau Kuniey selepas kembali solo kira-kira empat tahun lalu, dengan pantas wanita ini berkata hanya untuk anak-anak.

Malah pelakon berusia 35 tahun ini tidak mahu berkompromi dengan soal itu kerana memikirkan cabaran yang perlu dihadapi pada masa depan.

“Sekarang ini kepentingan diri bukan lagi keutamaan. Itu sudah jatuh ke tempat kedua sebab tumpuan saya hanya untuk anak-anak. Mereka adalah segala-galanya buat saya.

“Saya mahu memastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik,” katanya yang amat prihatin dalam soal pembelajaran tiga buah hatinya iaitu Afrina Syakira, 12, dan pasangan kembar Adam Aiman dan Amani Syazana yang berusia 10 tahun.

Ditanya tentang pendirian Kuniey untuk membenarkan permata hatinya itu terlibat dalam bidang seni, pelakon drama Projek Memikat Suami di Astro ini ada jawapannya.

Kata Kuniey, dia tidak menghalang anak-anaknya terlibat dalam bidang tersebut tetapi perlu ada batasan. Sementelah mereka pernah terlibat secara tidak langsung dalam menjayakan beberapa produksi komersial sewaktu kecil dahulu.

“Saya tidak pernah menghalang potensi yang ada pada anak-anak saya. Sekarang ini pun, mereka sudah menunjukkan bakat dan kecenderungan minat mereka.

“Yang sulung (Afrina) menunjukkan bakat dalam penulisan dan gemar membaca novel manakala Amani pula suka menyanyi. Adam seorang saja yang meminati bola sepak.

“Sebagai ibu dan bertindak sebagai bapa mereka, saya memang tegas dalam soal disiplin anak-anak,” ujar pemegang watak Mata Sedih dalam filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut ini lagi.

Kuniey memberitahu dia juga akan memberi fokus kepada kerjaya lakonannya dan mahu lebih agresif mengintai peluang berlakon dengan mana-mana produksi drama atau filem tempatan untuk mengukuhkan namanya.

Untuk

anak-anak

– Kuniey