Namun, tiada siapa menduga, tali pertunangan yang diikat pada 8 Oktober lalu mengundang kenangan pahit untuk ditelan Sufian apabila dugaan demi dugaan menimpanya dan akhirnya ikatan tersebut terlerai pada 17 Februari lalu.

Akur jodoh yang tidak kesampaian dan di sebalik ujian yang melanda, Sufian menjadikan platform muzik untuk berkongsi rasa menerusi single terkininya, Di Matamu.

Seolah-olah tepat pada waktunya, lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu bukan sahaja mendapat perhatian peminat, malah rakan-rakan artis lain turut menyanyikan semula lagu tersebut sehingga tular.

Hari ini, Sufian memanfaatkan momen penuh makna apabila mengambil keputusan untuk memuat naik klip video rasmi Di Matamu di laman YouTube.

Baru tiga jam dimuat naik, hampir 200,000 tontonan berjaya direkodkan berserta ratusan komen para peminat yang cuba mendalami maksud tersirat di sebalik kisah yang dipaparkan mengikut pemahaman masing-masing..

Ada yang berpendapat, setiap bait kata yang dilafazkan Sufian, memberi gambaran pelbagai rasa serta emosi sehingga mampu meruntun hati lalu menitiskan air mata.

Apapun yang terjadi, hanya Sufian dan Elfira sahaja yang mengetahui kisah mereka yang sebenarnya.

https://www.youtube.com/watch?v=IaW3TTCHL4Q - UTUSAN ONLINE