Didakwa sengaja menukar nama komposer bagi membolehkan karya berkenaan disenaraikan pada peringkat separuh akhir pertandingan itu, Sufi yang berasal dari Singapura mempunyai jawapan terhadap dakwaan tersebut.

“Sejujurnya, idea penghasilan lagu berentak balada rock itu datangnya daripada saya tetapi Edry yang bertanggungjawab sepenuhnya menggubah lagu berkenaan.

“Apabila diumumkan lagu ini layak ke separuh akhir Muzik-Muzik 32, saya sangat gembira dan teruja memandangkan kali pertama dapat bertanding dalam rancangan ini,” katanya kepada Utusan Online.

Terdahulu, Sufi dikatakan bertindak melakukan penukaran tersebut bagi memenuhi syarat pertandingan yang hanya dibuka kepada warga Malaysia sahaja.

Untuk pengetahuan umum, komposer luar negara tidak dibenarkan menyertai Muzik-Muzik, apatah lagi mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang dijangka berlangsung pada Februari depan.

Aku Sanggup merupakan antara 30 buah karya yang layak bersaing bagi merebut 12 tempat di pentas AJL32. Peringkat separuh akhir pertama telah pun berlangsung pada 29 Oktober lalu.

Sufi akan menyanyikan lagu tersebut pada peringkat separuh akhir kedua yang akan diadakan pada 5 November ini. Separuh akhir ketiga pula pada 12 November hadapan dan dipancarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN ONLINE