Sehinggakan, ada yang berpendapat, cara paling mudah untuk menyerang wanita bernama Fathia Latiff, 30, ini adalah menerusi media sosial, medium perantaraan paling dekat dengan pengguna yang menghubungkan Fathia dengan masyarakat di luar memandangkan dia begitu ‘melekat’ dengan aplikasi komunikasi itu.

Baik di Twitter mahupun di Instagram, Fathia ‘juara’ melontar pandangan dan komen mengenai sebarang isu. Ini termasuk ruang politik sehinggakan sesetengah netizen menyifatkan dia tidak patut menyibuk dan lebih baik berdiam diri sahaja.

Bahkan ada yang bersikap keterlaluan, tergamak melabel pelakon yang mula popular menerusi drama berjudul Hani dan Nur Kasih ini sebagai wanita bodoh sehingga ramai yang hilang rasa hormat terhadap dirinya. Ditambah dengan tayang aurat di Bigo yang menimbulkan kekecohan sebelum ini.

Sedar bahawa selama ini begitu ramai yang mengeji segala perlakuan dan pandangannya ketika berbicara, Fathia kebelakangan ini dilihat memilih untuk berdiam sehinggakan apabila mahu ditemu bual oleh teman-teman media pun sukar.

“Melarikan diri? Tidaklah. Saya fikir segala kontroversi membabitkan diri kebelakangan ini sudah pun berlalu. Lagipun, buat apa nak mengenang kontroversi lama?,”katanya yang kelihatan tenang di media sosial semenjak akhir-akhir ini.

Baginya sebagai manusia, walaupun satu ketika pernah dibelenggu kesilapan atau perbuatan yang disesali, setiap orang tetap perlu meneruskan hidup memandang ke hadapan.

“Saya sebenarnya sudah tak larat nak cakap pasal perkara yang terjadi. Beginilah, mungkin saya pernah buat kesilapan tapi takkan kerana semua kesilapan itu maka saya kena terus tenggelam atau tak boleh lakukan apa-apa?

“Apakah saya kena mati dalam kesalahan? Mestilah kena bangun dan terus memperbaiki diri. Tak kisahlah walau apa pun kesalahan itu, saya percaya semua orang akan ada anjakan paradigma untuk menjadi manusia yang lebih baik dari hari ke hari,”katanya.

Biadapnya!

Kadangkala meluat juga dengan sesetengah netizen yang tidak menjaga tatasusila dan bahasa di ruang maya, Fathia sedar setiap orang ada cara tersendiri dalam berkata-kata.

Cuma baginya, di situ memberi cerminan bagaimana cara hidup seseorang itu apalagi jika individu itu gemar menggunakan kata-kata yang kasar, biadab dan tidak senonoh atas alasan mahu menegur.

“Cara hidup setiap dari kita semuanya berbeza-beza. Ada sesetengah orang, bila dengan kawan-kawan berbual kasar namun dia dianggap normal kerana mereka saling mengenali. Namun, ada juga orang yang tak dapat menerima cara begitu.

“Terus terang saya tak boleh terima andai orang yang tak mengenali dengan dekat, kemudian mahu menegur dengan cara kasar dan biadap. Saya sendiri bukan jenis yang bercakap kasar dengan orang jadi ia adalah satu perbuatan yang tidak normal buat saya.

“Kalau rasa diri tu baik dan betul, gunakanlah cara yang betul sebab dari satu sudut lain, ia mencerminkan siapa anda. Jika rasa diri tak layak menegur saya atau orang lain, lebih baik jangan tegurlah,”ujarnya.

Menafikan dia seorang yang tidak terbuka menerima teguran, Fathia yang merasakan dirinya jauh daripada segala kesempurnaan menganggap ada cara lebih baik andai seseorang itu mahu berbuat begitu.

Namun, timbul kekesalan di hatinya apabila dia cuba untuk berubah, masih ada segelintir netizen atau masyarakat yang mahu mengungkit kisah lama.

“Janganlah bila saya nak berubah atau sedang cuba memperbaiki diri, anda semua mahu menarik saya semula ke isu lalu. Kenapa bersikap menjatuhkan sedangkan saya pun mahu berjaya dan mahu menjadi insan yang lebih positif?

“Cubalah letakkan diri anda di tempat saya, mungkin dari situ mampu membuatkan anda semua mengerti,”katanya.

Tahu bahawa sebagai selebriti banyak mata bertumpu pada dirinya, Fathia sempat berpesan agar setiap pengguna media sosial tidak terlalu taksub atau serius dengan medium itu.

Menganggap ia sebagai salah satu medium hiburan, kata wanita ini, pengguna juga jangan terlalu cepat mahu kongsikan sebarang berita atau informasi yang barangkali belum tentu kesahihannya.

“Selepas ini pun, saya tidak akan 100 peratus bertumpu pada media sosial. Lebih baik saya tumpu pada kerjaya dan kebetulan tidak lama lagi akan tampil dengan single sulung.

“Belum dapat dikongsi sepenuhnya, InsyaAllah akan dimaklumkan dalam masa terdekat,”katanya yang kini mahu menceburi dunia nyanyian.