Menurut anak kacukan Melayu-Amerika Syarikat ini, cinta dalam bidang nyanyian dan muzik sebenarnya sudah bercambah segar sejak usianya 10 tahun lagi. Namun, dia harus akur apabila rezekinya lebih condong ke bidang lakonan ketika hadir menempa nama pada 2001.

Bertahun menunggu saat vokalnya diperdengarkan kepada khalayak, Diana sedar kesabaran untuk mereali­sasikan keinginan tersebut akan terlerai dan pastinya saat itu menjadi satu momen yang paling indah.

“Peringkat awal perkenalan saya dengan dunia seni, saya didedahkan dengan muzik dan nota lagu. Malah, saya juga aktif menyertai orkestra sekolah sebagai pemain biola hingga pernah mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

“Usia 10 tahun saya sudah mula mencipta lagu sendiri. Bayangkanlah biola boleh dijadikan inspirasi untuk saya menghasilkan karya sendiri.

“Tetapi, apabila mula serius dalam industri, rezeki lakonan pula lebih banyak saya terima berbanding nyanyian.

“Atas sebab itu, saya terpaksa melupakan bertahun-tahun lamanya minat untuk meneroka muzik secara lebih mendalam disebabkan kekangan kerjaya lakonan,” ungkapnya memulakan bicara.

Akui wanita berusia 27 tahun itu lagi, di sebalik kesibukan menjalankan tang­gungjawab sebagai anak seni, hati dan mindanya masih tetap membayangkan yang dia bergelumang dalam dunia muzik.

“Jujur saya katakan, walaupun sedang sibuk di set penggambaran,, tetapi otak saya ligat mencari bahan untuk lagu-lagu terbaharu.

“Dalam fikiran ini sudah banyak sangat melodi yang saya bayangkan, tetapi masih tidak diterjemahkan di atas kertas.

“Maka, saya rasa inilah waktu yang paling tepat untuk saya tunaikan hasrat yang sudah lama tersimpan. Agak geram jugalah kalau dibiarkan tanpa ada pengakhiran. Kerana itu saya nekad untuk menyusun semula melodinya.

“Untuk mencantikkan lagi hasilnya, saya dibantu oleh Alif Sleeq. Dia menolong saya menyiapkan beberapa lagu yang dijangka menemui peminat tahun hadapan,” ujarnya yang mahu memfokuskan bidang nyanyian serta muzik pada 2019.

Diana ditemui pada majlis pelancaran single tebaharunya, Infiniti hasil kolaborasi bersama penyanyi Singapura, Reyza Hamizan dan NeonSoul di Red Box, Pavillion,Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berbicara lanjut tentang single sentuhan Reyza, komposer yang kini menetap di Malaysia, Diana mendedahkan yang pertemuan untuk merakamkan Infiniti itu diatur kemas dan lancar.

“Kerjasama saya dan Reyza bermula tiga tahun lalu ketika dia bertindak selaku penerbit untuk single Terbaik.

“Rentetan itu, Reyza menawarkan saya untuk merakamkan lagu Infiniti bersamanya. Mulanya saya berdebar dan bimbang andai tidak dapat membawakan lagu tersebut dengan baik.

“Alhamdulillah, Reyza dan NeonSoul sangat membantu dan berbekalkan pengalaman mereka, sedikit sebanyak saya dapat ilmu muzik daripada mereka yang lebih profesional.

“Persahabatan saya dengan Reyza yang sudah lama terjalin juga menjadi faktor mengapa saya berani mengambil risiko itu,” katanya yang merakamkan lagu Infiniti tiga tahun lalu.

Diana sudah menyiapkan empat lagu bersama Alif Sleeq.

Sementelah itu, demi membuktikan apa yang dilakukan itu bukan sekadar ‘tin kosong’, Diana sanggup menghadiri kelas vokal demi persediaan pada masa akan datang.

“Tidak menjadi masalah kepada saya sekiranya perlu memperlahankan karier lakonan demi memberi fokus kepada nyanyian. Saya juga harap 2019 adalah tahun rezeki saya dalam muzik.

“Saya sudah lama tak menyanyi, kerana itu saya kerap pergi kelas vokal. Antara guru muzik saya ialah Sarah Ismail dan Idayu.

“Dengan menghadiri kelas vokal, saya dapat pelajari banyak teknik yang selama ini tak pernah pun saya dengar.

“Secara peribadi, saya rasa mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit adalah satu pelaburan yang berbaloi demi mendapatkan album yang diidamkan,” kongsinya dengan nada teruja.

Bangga dengan keberanian anak

ISTERI kepada Datuk Farid Kamil ini juga tidak lokek berkongsi rasa bangga terhadap anak lelakinya, Muhammad yang berkhatan, baru-baru ini.

Meskipun usianya baru lima tahun, namun keberanian Muhammad dipuji seisi keluarga kerana menyuarakan sendiri hasrat untuk disunatkan setelah tercabar melihat sepupu sebayanya sudah selamat melalui proses tersebut.

“Saya rasa masih terlalu awal untuk anak kecil seusianya. Tetapi dia sendiri yang buat keputusan itu dengan rela hati tanpa paksaan sesiapa.

“Mungkin dia rasa tercabar sebab ramai sepupunya sudah berkhatan.

“Yang kelakar, selepas dibius, dia terus meraung-raung dan menyesal dengan keputusan yang dibuat. Memang kami tidak beritahu pada Muhammad tentang proses yang bakal dilalui itu menyakitkan,” tuturnya.

Sambil memberitahu, selepas lebih seminggu berkhatan, keadaan Muhammad kini semakin pulih dan aktif, malah sudah boleh mengenakan seluar. Apa pun Diana dan Farid tetap mengambil berat soal penjagaan makanan agar luka kembali sembuh dengan sempurna.

“Saya dan Farid memang sudah merancang bawa Muhammad untuk disunatkan di klinik milik bapa saudaranya (adik Farid) yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

“Selain mahu beri sokongan kepada perniagaan ahli keluarga, dalam masa sama bila proses berkhatan itu dilakukan oleh keluarga sendiri sedikit sebanyak dapat meredakan keadaan Muhammad,” akhiri Diana.