Nama Nonny Nadirah, 27, tiba-tiba menjadi hangat apabila dikaitkan sebagai kekasih baharu kepada suami Adira, Datuk Red. Ahli perniagaan itu juga yang membayangkan kepada pihak wartawan yang hubungannya dengan penyanyi dan pelakon itu semangat hangat.

Bagaimanapun, Datuk Red mengakui hubungan yang terjalin sejak beberapa bulan lalu itu sudah berakhir selepas dihidu isteri keduanya, penyanyi Adira.

Dek mahu menjaga maruah diri, Nonny sanggup bersumpah yang dia tidak pernah menjalinkan hubungan dengan lelaki tersebut malah langsung tidak pernah menghubunginya seperti mana didakwa lelaki itu sebelum ini.

“Paling marah, saya dikata meminta duit daripada lelaki itu walhal hakikatnya kenapa perlu saya berbuat sebegitu. Siapa dia dalam hidup saya hingga sewenang-wenangnya boleh bertindak cara itu?

“Sumpah! Kami tidak pernah ada hubungan istimewa. Nak bercinta berbulan-bulan macam mana? Saya tak pernah memberikan nombor telefon pada dia,” tegas Nonny mempertahankan diri berhubung kemelut cinta suami orang.

Apa yang membuatkan rasa terkilan apabila dia dilihat seolah-olah sengaja menyembunyikan kisah hubungannya dengan Datuk Red apabila pihak wartawan gagal menghubunginya dua minggu lalu.

Hakikatnya Nonny ketika itu berada di negeri kelahirannya, Sabah untuk menguruskan hal keluarga yang lebih penting dan memerlukan campur tangan daripada wanita ini sepanjang masa.

Oleh yang demikian Nonny langsung tidak tahu menahu tentang gosip tersebut hinggalah dimaklumkan pengurus peribadi setibanya di ibu kota hujung bulan lalu.

“Saya tidak akan layan ‘permainan’ dia. Lagipun sudah ada ‘sejarah’ cerita yang lebih kurang sama terjadi pada seorang artis membabitkan dia sebelum ini. Dah boleh dijadikan sebagai pengajaran pun,” ujarnya.

Menghormati perasaan keluarga sendiri yang turut terkena tempias, penjelasan ini diharap tidak disalah tafsirkan oleh mana-mana pihak. Ini termasuklah penyanyi Adira yang merupakan isteri kedua lelaki itu. Menghargai persahabatan yang terjalin, Nonny juga tidak mahu kenyataan yang dibuat itu juga bakal menggugat keharmonian rumah tangga Adira dengan suaminya itu.

“Tak pasal-pasal juga, saya dan teman lelaki bermasam muka gara-gara gosip ini. Hah, kan dah tak seronok. Hubungan cinta kami ini dah sampai peringkat yang serius. Dah fikir tentang perkahwinan dah. Apa pula kata bakal keluarga mentua apabila dapat tahu tentang cerita sebegini. Jenuh pula saya kena terangkan kepada mereka semula tentang cerita sebenar,” katanya lagi.

Fobia dimanipulasi

DALAM pada itu, Nonny menjelaskan yang dia kini semakin berhati-hati untuk mengeluarkan sebarang kenyataan kerana bimbang disalahtafsirkan oleh mana-mana pihak.

Apa yang membuatkan dia lebih terkesan apabila artikel berkenaan menjadi bahan persenda pihak lain yang menggambarkan seolah-olah dirinya seorang yang bodoh kerana bertindak mengikut perasaan.

“Artikel yang mendakwa saya tidur di bawah jambatan ketika saya baru berjinak-jinak dalam industri sebelum ini paling terkesan. Saya tidak pernah berkata begitu. Tak tahu pula dari mana datangnya cerita itu.

“Yang jelas, artikel itu telah membuatkan saya terhina apabila ada pihak yang memandang rendah. Malu juga sebab seolah-olah menggambarkan kedaifan hidup saya.

“Tak apalah, selepas ini saya kena lebih berjaga-jaga. Dah tak boleh bagi kenyataan pada pihak yang mencurigakan. Bukannya apa, untuk kebaikan diri sendiri. Tak nak berulang lagi kejadian sama, fobialah,” katanya lagi.