Suaka yang popular di AS ketika ini melangsungkan Suakatrocity 2019 iaitu tour di Asia dan di negara ini akan mengadakan konsert di empat negeri bermula di Rockin Jamz Hall, Sierra Perdana, Pasir Gudang, di sini pukul 8 malam ini sebelum ke Miri (20 April) dan Sibu (21 April) di Sarawak sebelum ke Kuala Lumpur (22 April) dan terakhir di Perlis (5 Mei).

Kumpulan thrash metal yang dianggotai Rully ‘Roots’ Rochmat selaku pemain gitar/vokalis, Patrick ‘QQ’ Salomo (pemain bass) dan John Meredith (pemain dram) sedang mempromosikan album baharu terbaharu Trocity.

Menurut penganjur konsert yang juga Pengurus Muzik Box Production, Fadzil Bujang, konsert di Pasir Gudang malam ini istimewa kerana merupakan persembahan sulung di Malaysia selain akan bergandingan dengan kumpulan underground death metal terkenal dari Jepun, Defiled.

“Selain Suaka dan Defiled, dua band tempatan akan turut menghiburkan persembahan pada malam ini yang dijangka cukup menggegarkan. Suaka adalah sebuah band yang sedang mencipta nama di persada thrash antarabangsa.

“Kumpulan ini agak dekat dengan peminat-peminat thrash Malaysia kerana ada liriknya ditulis dalam bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui semasa meninjau persiapan konsert itu malam ini.

Kumpulan yang ditubuhkan di AS pada 2001 itu sedang melakukan tour di 11 buah negara Asia dari awal bulan ini hingga bulan depan.

Sebelum ke Malaysia tour mereka sudah menjelajah ke Batangas (9 April); Mindoro (10 April) dan Manila (11 April) di Filipina sebelum dua konsert di Tokyo, Jepun (13 dan 15 April); Taipei, Taiwan (17 April) dan Singapura (18 April).

Selepas mengadakan tour di Malaysia mereka sudah ke Ulaanbataar, Mongolia (24 April); Kathmandu, Nepal (26 April); Bangalore, India (28 April); Hanoi, Vietnam (30 April), Vientiane, Laos (1 Mei) sebelum ke Hat Yai (3 Mei), Bangkok (4 Mei) dan Chiang Mai (5 Mei) di Thailand.

Suaka pernah menghasilkan empat album berjudul Episode 1 (2007), Unify (2010), Tiga (2017) dan Trocity (2019) dengan lagu-lagunya dikarang dalam bahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu.

Mereka terkenal dengan lirik-lirik yang lantang mengkritik situasi politik,

korupsi, ketidakadilan dan penyalahgunaan kekuasaan yang didakwanya berlaku dan sudah terlalu lama dibiarkan di Indonesia. - UTUSAN ONLINE