Kali ini, Studio The Oppressed Production (TOP) berperanan sebagai ‘kandang’ bagi menghakimi gerak nafas pelakon sekali gus merungkai mesej-mesej tersirat yang dibawa dalam teater tersebut.

Ujar Amirul Syakir selaku pengarahnya, intipati karya Roslee Mansor dalam Mambo Horse yang sangat bijak, halus serta mempunyai nilai kefahaman yang sangat tinggi.

“Melalui teater ini, penonton akan disajikan tentang pandangan individu yang terlibat dalam dunia pelacuran sama ada sengaja atau tidak sengaja.

“Ia akan membuka mata penonton untuk menilai sesuatu perkara itu sebaik-baik mungkin selepas menghayati penceritaan yang penuh beremosi,” ujarnya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu pengarah bersama, Roshafiq Roslee berkata, Mambo Horse bukan sahaja mengangkat kehidupan tentang wanita malah melestarikan elemen feminis dalam cerita tersebut dengan sangat kuat.

“Apa yang menariknya, saya boleh katakan ia berada pada pengakhiran cerita. Hal ini kerana penonton pasti tidak akan sesekali berjaya meneka apakah pengakhirnya kerana di situ ada ‘permainannya’ yang tersendiri,” ujarnya.

Terdahulu, teater Mambo Horse telah dipentaskan beberapa kali bukan sahaja di ibu negara malah pernah dipertontonkan naskahnya sehingga ke negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

Bagi penggiat teater dan juga perintis Studio TOP, Hilmi Rushdi memberitahu Utusan Online, pihaknya amat berbangga kerana berpeluang untuk bekerjasama dalam mementaskan karya Mambo Horse.

“Sebenarnya studio ini baru dibuka dengan kadar RM850 selama lima hari ini namun tidak menyangka ada produksi yang berkesudian untuk meluaskan kerja-kerja seni mereka di sini.

“Sehubungan itu, saya menjemput seluruh peminat teater untuk berkunjung ke Studio TOP yang beralamat No. 8, Jalan SPU 1, Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor bagi menyokong kegiatan seni dan budaya ini,” katanya.

Pementasan akan berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Februari dan bayaran tiket berharga RM15. Sebarang info lanjut berhubung pementasan yang menampilkan bakat baharu seperti Adena Sams, Azman Rashid dan Mahmud Sulaiman, boleh hubungi talian 018-9771543 atau 011-11440576. - UTUSAN ONLINE