Membuka gelanggang bicara soal drama yang dijangka mencetuskan fenomena kelak, Neelofa sememangnya cukup bijak mengatur langkah seninya. Dia tahu peminat setia pasti tidak sabar menantikan naskhah Ti Amo Sweetheart 100 Hari.

Walaupun belum lagi ditayangkan, peminat dalam media sosial bagaikan sudah histeria dengan gandingan dua nama besar, Neelofa dan juga Zul Ariffin. Pastinya, pengaruh mereka bukan calang-calang.

Pertama kali bergandingan dengan pelakon kacak itu, pastinya keserasian menjadi cabaran utama yang perlu dihadapi si cantik manis ini. Apatah lagi, dia mengakui, tidak pernah berbual secara mesra dengan pelakon lelaki itu sebelum ini.

Cuma dua atau tiga kali bersua tanpa berbicara pada majlis hiburan, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu bagaimanapun memuji sikap profesional dan mudah bekerja Zul dalam mencari keserasian antara mereka.

“Saya sangat senang bekerja dengan Zul. Jalan drama ini pun saya suka jadi sangat teruja untuk memulakan penggambaran. Skrip pun banyak diubah mengikut kesesuaian jadi senang untuk kami mencari keserasian.

“Sebenarnya tak sangka, keserasian itu mudah diperoleh biarpun saya tak pernah bercakap dengan dia sebelum ini. Adalah jumpa beberapa kali pada majlis hiburan tetapi sekadar bertentang mata sajalah.

“Mula-mula ingat pasti ada rasa kekok tapi apabila jalan cerita berkembang, jiwa kami terus serasi. Berlaku tanpa disangka-sangka. Bukan senang untuk dua pelakon serasi, tentu (ini buat) saya gembira,” katanya yang menjalani penggambaran di Rom, Itali baru-baru ini.

Namun di sebalik pujian dan harapan peminat, anak kelahiran Kelantan ini tidak terkecuali daripada kecaman dan kritikan netizen setelah gambar serta video dia dilihat seolah-olah berpelukan dengan Zul tular di laman sosial.

Tidak mahu terlalu mengambil peduli dengan kecaman dan kritikan itu, wanita berusia 29 tahun ini sedia maklum adegan itu pasti akan menimbulkan kontroversi. Bagaimanapun, itu semua teknik kamera sahaja, katanya.

“Saya rasa untuk mewujudkan keserasian, kita kena mesra sedikit tetapi saya masih tahu dan jaga batasan. Saya sedia maklum pasti adegan itu akan mencetuskan spekulasi tetapi saya tidak kisah.

“Teknik kamera dan pengolahan pengarah yang menjadikan adegan itu menampakkan kami terlalu rapat. Memang ada sentuhan tetapi tidak kulit ke kulit. Tak apalah, orang boleh cakap, kecam dan kritik apa sahaja, kan?” katanya yang sudah lapan tahun menghambakan diri dalam dunia seni.

Diaju soalan nakal, adakah benar ada bibit-bibit cinta antara mereka di set seperti yang diharapkan peminat, pengacara MeleTop ini hanya tersenyum manis seraya menggelengkan kepala.

Mereka profesional, itu jawapan Neelofa kepada persoalan tersebut. Mengakui Zul merupakan seorang pelakon yang sangat disiplin dan komited terhadap kerja, Neelofa mudah untuk bergandingan dengan pelakon lelaki itu.

“Zul seorang lelaki yang baik dan senang bekerja. Seorang yang cukup peribadi dan hanya berbicara kalau dia selesa. Kami sangat profesional di set dan menghormati cara kerja masing-masing.

“Boleh tanya kru di set, kami berdua biasa sahaja. Semua adegan mesra itu hanya semata-mata untuk drama itu sahaja. Kalau peminat mengharap, baguslah untuk pemasaran drama itu.

“Masing-masing ada cara sendiri. Ada kata Zul kawal macho dan macam-macam lagi. Suka hati dialah, dia boleh buat apa dia nak. Kalau nak harap apa-apa, haraplah. Kami berdua profesional sahaja,” katanya.

Berada pada kelas tersendiri

Pencapaian ikon Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW2018) ini tidak perlu dipertikai. Satu demi satu anugerah diterima membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri. Dia juga menjadi contoh dan inspirasi kepada ramai wanita.

Mahu terus menyebarkan aura positif kepada masyarakat, Neelofa tampil dengan kempen #BeLofa yang menyenaraikan 10 sikap dan nilai murni yang seharusnya menjadi cogan kata kepada semua wanita khususnya untuk berjaya.

“Alasan kukuh kenapa saya keluar dengan kempen ini mudah - kita perlu sentiasa bersikap positif dan menerapkan nilai murni dalam kehidupan. Saya bukan berjaya dalam sekedipan mata sahaja, macam-macam saya perlu lalui.

“Macam-macam saya kena menjadikan siapa saya sekarang. Selepas pelbagai cabaran dan dugaan, saya berdiri di sini dengan sokongan dan doa semua pihak. Itu sesuatu yang saya mahu sebarkan kepada semua,” kata pelakon filem Pilot Cafe ini.

Ditanya soal azam sempena hari lahir awal Februari lalu, Neelofa hanya tersenyum dan menganggap impiannya tetap sama seperti azam tahun baharu. Dia sendiri tidak mampu menjangka yang bakal dicapai kelak.

“Saya tidak tahu setinggi mana saya akan terbang. Saya hanya mengikut yang telah dirancang Tuhan. Yang saya tahu, usaha dan doa tidak putus-putus menjadi prinsip untuk berjaya tidak kira dalam apa jua bidang.

“Contohnya, macam (tawaran) drama itu, Saya tak rancang pun tiba-tiba dapat panggilan dan saya terima kerana jalan cerita menarik. Semua itu dirancang dan ditentukan Allah, saya ikut dan reda,” katanya.