Kongsi Elvina, bergelar  ibu membuatkan beliau lebih memahami erti tanggungjawab dalam membesarkan seorang insan.

“Bergelar seorang ibu membuatkan saya lebih matang dalam semua hal sebab tanggungjawab itu lebih besar dan berterusan.

“Memang tidak percaya pada mulanya yang saya sudah jadi ibu. Takut juga tetapi bila sudah melahirkan Karl semuanya datang secara semula jadi. Maka, pengalaman bergelar ibu sejak beberapa bulan lalu sebenarnya adalah sesuatu yang sangat indah,” katanya. 

Tidak melihat ada masalah untuknya meneruskan karier sebagai seorang pelakon, kongsi Elvina, walaupun anaknya itu baru berusia dua bulan, namun beliau sudah membuat persiapan rapi untuk  kembali ke set penggambaran. 

“Buat masa ini saya tidak ada masalah  untuk kembali bekerja memandangkan anak akan dijaga oleh ibu mentua. Jadi bila saya berada di luar kelak, tidak ada perasaan takut mahu tinggalkan anak dengan orang asing.

“Ikutkan saya sudah berehat hampir setahun bermula daripada mengandung sehingga melahirkan anak. Rasanya sudah cukup panjang tempoh itu dan buat masa ini saya memang sangat bersedia untuk kembali berlakon.

“Dalam tempoh berpantang juga saya sebenarnya sudah menyiapkan diri. Sebab itu dalam tempoh beberapa bulan ini saya mengamalkan pantang yang sangat ketat dalam memastikan berat badan  turun kepada asal,” katanya.

Tidak melihat bergelar ibu pada usia 24 tahun membuatkan beliau terkongkong dengan tanggungjawab, Elvina sentiasa mengimpikan untuk memiliki keluarga pada usia muda. 

Namun, itu bukan bermakna beliau perlu menguburkan impian yang lain. Malah buat masa ini suaminya, Datuk Mohd. Haniff Borhan, 33, turut memberi sokongan untuknya kembali ke dunia lakonan.

“Sebenarnya saya berlakon bukan sebab pendapatan, tetapi lebih kepada minat. Malah suami tidak ada masalah untuk saya terus bergelar pelakon memandangkan beliau yakin dengan kemampuan saya untuk menguruskan keluarga dan karier.

“Soal keluarga adalah perkara utama untuk saya. Namun buat masa ini saya dan suami sudah berbincang untuk memfokus kepada kerjaya selain mahu membesarkan Karl terlebih dahulu.

Memang  kami juga mahu jarakkan kelahiran anak kedua. Mungkin dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya jujur.