Terkini, SPRM akan menerbitkan sebuah teater berjudul Bahara Emas karya dan arahan penggiat teater terkenal, Rosminah Mohd. Tahir.

Menurut Pengarah Seksyen Penerbitan SPRM, Datuk Samad Kasah, teater Bahara Emas dipilih sebagai salah satu aktiviti bagi mengisi program sambutan ulang tahun ke-50 SPRM mulai Oktober depan.

“Pementasan yang berlangsung dari 19 hingga 22 Oktober depan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur diterbitkan bersama CTRA Production dengan kerjasama DBP, Akademi Seni dan Budaya Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Istana Budaya.

“Skrip teater ini ditulis khas untuk projek SPRM oleh Dekan Fakulti Teater Aswara, Rosminah Mohd Tahir yang juga bertindak sebagai pengarah,” katanya.

Samad menjelaskan, Bahara Emas adalah kisah yang diambil daripada cerita Sejarah Melayu dan Tun Seri Lanang tentang Kesultanan Melayu Melaka yang jatuh, antaranya kerana rasuah dalam kalangan rakyat dan pemimpin.

“Akibat rasuah dan salah guna kuasa serta tamak menyebabkan sebuah empayar yang hebat dijatuhkan oleh kuasa asing,” katanya.

Beberapa pelakon dan penyanyi terkenal serta aktivis teater seramai 50 orang akan terlibat dalam pementasan teater yang akan memuatkan lebih 10 lagu ciptaan komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah).

Antara lagu yang dicipta khas untuk teater ini ialah Cinta Semalar Segar, Puji Sahabat, Bahara Emas, Srikandi Pertiwi dan Gurindam Melaka yang mana semua liriknya ditulis oleh Rosminah.

Menariknya, teater sulung terbitan SPRM itu akan tidak mengenakan sebarang tiket kerana ia sebagai salah satu usaha menggalakkan masyarakat mendekati SPRM melalui seni.

Keterangan lanjut mengenai pementasan teater ini boleh menghubungi 017-2004249 atau email di ctraproduction@marketing.com.

Alumni Sekolah

019-333 4355

Pembaca dipelawa menghantar berita dan foto tentang aktiviti alumni sekolah ke ruangan Alumni Sekolah. Hantar melalui e-mel alumnisekolah.utusan@gmail.com atau alamatkan kepada: Ruangan Alumni Sekolah, Utusan Melayu (M) Berhad, No 44, Jalan Utusan, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 
Kuala Lumpur.

http://www.tutor.com.my/alumnisekolah