Bakal menggegarkan pentas The Bee, Publika, vokalis Sofazr, Zimie menganggap tiga tahun tanpa sebarang lagu baharu bukan petanda mereka sudah berkubur daripada industri seni.

“Kami masih aktif dan konsert mini itu nanti adalah satu cerminan kepada kebangkitan kami semula dalam industri. Semuanya untuk mengubati rindu peminat.

“Kami sudah mula latihan dan dalam prosea memilih lagu serta menyusun semula muzik supaya lebih segar dan mengikut peredaran masa. Kalau cakap fasal teruja, memang kami tidak sabar,” katanya kepada UTUSAN ONLINE baru-baru ini.

Mengakui kerja meraih populariti seperti dahulu bukan satu kerja mudah, Zimie bagaimanapun optimis dan yakin dengan kualiti muzik mereka yang lebih matang serta segar.

“Mungkin ada yang kata sudah terlambat. Apatah lagi dengan kebanjiran pendatang baharu yang mempunyai bakat dan kelompok peminat sendiri.

“Namun saya yakin, kami masih mempunyai kelompok peminat setia yang menantikan karya baharu Sofazr. Tugas kami sekarang, memancing peminat baharu,” katanya. - UTUSAN ONLINE