Siapa sangka usia penyanyi genit itu yang mula dikenali menerusi lagu Kesetiaan pada 2002 telah memasuki angka 16 tahun penglibatannya dalam industri seni tanah air.

Keputusan untuk mengundurkan diri seketika pada waktu namanya sedang berada di puncak adalah satu keputusan sukar yang pernah dibuatnya.

Namun demi memberi fokus terhadap keluarga, Sarah akur menyepi selama tujuh tahun demi memberi laluan kepada tugas sebagai seorang isteri dan ibu.

Menghargai program Gegar Vaganza yang banyak membantu menaikkan namanya sejak menyertai rancangan itu pada 2016, Sarah mahu menggunakan platform itu sebagai langkah kanan untuk terus mengatur perjalanan karier seninya.

Justeru itu, tahun ini dia muncul dengan single terkini, Semakin dan pernah menghiasi lagu latar drama bersiri Halalkan Hati Yang Ku Curi untuk slot Akasia di TV3.

“Saya sendiri tidak menyangka kemunculan semula dalam industri diterima ramai. Memang saya teruja dan merasakan inilah masa yang paling sesuai untuk saya kembali.

“Muzik adalah jiwa saya sejak lebih 15 tahun lalu, jadi mana mungkin saya terus ‘berehat’ selama-lamanya.

“Anak-anak pun sudah semakin membesar dan paling penting saya kembali aktif atas sokongan suami.

“Dia memberi lampu hijau untuk saya sambung semula minat nyanyian saya. Alhamdulillah... Tuhan anugerahkan saya seorang suami yang memahami kehendak isterinya dan tak halang apa yang saya buat.

“Tiada yang ingin saya buktikan... cuma saya ingin kembali menyanyi dan berkongsi bakat kepada peminat,” tuturnya.

Justeru, single Semakin paling istimewa di ruangan hati penyanyi berusia 34 tahun itu kerana bukan sahaja menjadi karya baharu selepas kemunculan semula malah merupakan karya sulung suami tercinta yang juga pelawak, Shuib Sepahtu.

Semenjak dimuat naik dalam laman YouTube sejak tiga bulan lalu, lagu tersebut telah mencecah empat juta tontonan.

Apakah selepas ini bakal ada lagi lagu baharu hasil ciptaan Shuib, Sarah dengan nada bersahaja memberitahu, dia tidak mahu menambah tekanan kepada suaminya.

“Sebagai isteri sudah pasti saya menginginkan lagi dan lagi dan lagi lagu-lagu hasil ciptaan suami sendiri. Cuma saya rasa single Semakin saya lebih kepada tuah sebenarnya.

“Ini kerana saya merasakan sama seperti lagu Bersamamu karya Effendi yang menjadi satu-satunya komposer yang buat lagu saya dan setelah itu dia berhenti cipta lagu, begitu juga Shuib.

“Tetapi ada satu hal yang saya cakap kepada Shuib, andai dia ada idea dan lagu yang baik satu hari nanti, saya akan mempertimbang untuk dijadikan lagu nyanyian.

“Pun begitu, saya tidak meletakkan beban kepada dia seorang. Saya guna inisiatif dengan mencari sendiri komposer lain atau mungkin juga cuba belajar buat lagu sendiri,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.

Artis OST dan sezaman

TAHUN ini menyaksikan ramai rakan artis seangkatannya seperti Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Liza Hanim kembali mewarnai pentas dengan aura yang masih teguh mengukir nama di pentas gemerlapan meski bergulir waktu dan usia.

Mengakui gembira dan teruja melihat rakan-rakan artis kembali mewarnai dunia seni, Siti Sarah sedar bukan sekadar teman sezaman, mereka juga terpaksa bersaing dengan muka-muka baharu yang memiliki ramai pengikut dalam sosial media.

“Namun saya percaya kepada rezeki,” katanya optimis terhadap kemunculan semula selepas ‘berehat’ selama beberapa tahun dan hadir dengan naskhah baharu, Semakin.

“Rezeki ada di mana-mana. Kalau nak cakap tentang penerimaan orang, rasanya sejak dua tahun saya kembali mewarnai dunia nyanyian, Alhamdulillah... masih ada lagi yang menyokong saya.

“Malah syarikat pengurusan Indigital Sdn.Bhd., juga antara nadi utama dalam kerjaya saya. Saya seronok melihat industri kita meriah. Walaupun kita ketahui pasaran ekonomi seni kreatif tidak begitu memberangsangkan tetapi saya percaya muka-muka inilah yang akan membantu menaikkan ekonomi negara.

“Zaman saya mungkin sudah berlalu tetapi kehadiran saya pada era baharu ini sedikit sebanyak mengubati kerinduan untuk kembali menyanyi dan menghiburkan khalayak,” tambahnya.

Mengenai strategi menggunakan platform lagu runut bunyi (OST) untuk mempromosikan single Semakin, jelas Sarah, itu merupakan salah kaedah yang bagus buat artis tempatan.

Malah katanya, sebagai penyanyi yang mempunyai karya baharu, masing-masing perlu turun padang membuat promosi supaya kewujudan lagu mereka diketahui pendengar.

“Tak boleh tunggu kena suap baru nak jalan, kalau begitu sampai bila-bila pun lagu takkan ke mana. Single Semakin yang dijadikan lagu latar untuk drama memberi kelebihan lagu ini untuk dikenali biarpun tawaran datang tanpa dirancang.

“Itu yang berbalik kepada rezeki seperti yang saya katakan tadi. Saya melihat sudah ramai artis gunakan medium ini untuk membantu menaikkan rating lagu.

“Justeru kenapa saya tak gunakan peluang keemasan sebegini dan sudah tentu apabila sudah ditawarkan, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju menjadikannya sebagai lagu runut bunyi.

“Hasilnya, single Semakin sudah mulai mendapat tempat di hati pengikut muzik tempatan dan pencarian dalam YouTube juga semakin hari semakin bertambah.

“Saya tak minta banyak, hanya sokongan daripada peminat,” katanya.