SITI SARAH RAISUDDIN dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas akibat gastrik. instagram shuib

Menurut Shuib, keadaan kesihatan Siti Sarah sangat lemah menyebabkan dia sangat cemas.

“Nasib baik rumah dekat, kalau tidak doktor cakap perkara lebih buruk akan berlaku. Ini adalah situasi paling teruk saya hadapi sepanjang tujuh tahun kami berkahwin.

“Saya takut sangat sebenarnya. Pukul 6 pagi tadi tekanan darah­nya turun mendadak tetapi tidak lama kemudian kembali normal, Alhamdulillah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Sekitar pukul 1 pagi, Siti Sarah, 34, mengadu perutnya sakit akibat gastrik kerana penyanyi yang terkenal dengan lagu Kesetiaan itu tidak menjamah sebarang makan sejak petang semalam.

Bagaimanapun, pada pukul 5 petang ini, penyanyi yang juga ibu kepada tiga cahaya mata itu dibenarkan pulang ke rumah selepas doktor yang merawatnya memberitahu keadaannya sudah stabil.

Dalam pada itu, Shuib turut menafikan isterinya dimasukkan ke dalam hospital akibat amalan diet Siti Sarah seperti yang didakwa segelintir pihak.

“Bukan kerana diet. Siti Sarah pernah juga kena gastrik dan sesak nafas, tetapi hari ini paling teruk setakat ini. Sebab itu saya takut sangat,” ujar Shuib lagi.

Sementara itu, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 33, turut mengumumkan hari ini merupakan hari terak­hir beliau bertugas sebagai penyampai radio di stesen Sinar FM.

Katanya, keputusan itu dibuat atas tuntutan kerja lain dan masa yang tidak mengizinkan.

“Saya berhenti bukan sebab bergaduh atau alasan negatif. Saya hendak fokus kepada tiga perniagaan saya,” katanya.