Siti Saerah Tarudin dan Mohd. Sharidan Johari bersama-sama Siti Nurhaliza (kiri).

Menerusi jemputan yang dikongsi, Saerah dan bakal suaminya itu akan mengadakan majlis pernikahannya itu di sebuah lokasi di Kuala Lumpur. Berkongsi persiapan menjelang hari bahagia mereka, Sharidan memberitahu Utusan Online bahawa persiapan berjalan lancar.

“Pemilihan tarikh dan lokasi saya serahkan kepada pihak perempuan, yang penting semuanya berjalan lancar untuk kami.

“Sebagai bakal suami dan ayah kepada anak-anak Saerah, saya sudah bersedia menggalas tanggungjawab. Tidak ada masalah untuk saya,” katanya.

Jelas Sharidan, ikatan perkahwinan ini juga lebih memudahkan dia untuk membantu Saerah memandangkan kini dia yang menguruskan jadual penyanyi itu.

“Keluarga juga meminta kami mempercepatkan urusan perkahwinan memandangkan kerjaya kami membuatkan kami selalu bersama-sama.

“Selepas hampir setahun menguruskan kerjaya Saerah, saya rasa ini adalah waktu yang terbaik buat kami diijabkabulkan,” katanya.

Saerah yang muncul dengan lagu baharu berjudul Hanya Restu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Saiful Anuar Ahmad Shafie pada 2010. Melalui perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ummi Umairah, 6, Ahmad Daiyan, 5, dan Ahmad Aisy, 3. - UTUSAN ONLINE