Menjadikan media sosial sebagai medium untuk berkomunikasi dengan peminat selain ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat, Saerah menjelaskan, berita itu amat menggembirakannya dan suami.

“Bismillahirrahmanirrahim, dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, Alhamdulillah,” memetik ucapan yang diungkapkan bersama-sama foto imej imbasan kandungannya di akaun Instagram @sitisairahtarudin.

Sementara itu, suami Saerah yang mesra disapa dengan nama Idan menjelaskan, awalnya mereka tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah penyanyi itu mengadu keadaan badannya yang tidak berapa sihat.

“Selepas melakukan pemeriksaan kesihatan pada 28 April lalu di sebuah klinik di Cheras, barulah doktor mengesahkan bahawa Saerah sah mengandungkan cahaya mata pertama kami.

“Tarikh hari ini, sempena kali pertama Saerah lakukan rawatan susulan sebaik disahkan hamil, kami manfaatkan juga peluang tersebut untuk umumkan berita ini kepada semua,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Idan menambah, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Hero Wayang itu berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

Terdahulu, Saerah telah mempunyai tiga orang anak iaitu Ummi Umairah, 6; Ahmad Daiyan, 5 dan Ahmad Aisy, 3, hasil perkahwinan pertamanya dengan Saiful Anuar Ahmad Shafie pada 2010. - UTUSAN ONLINE