Masih ada antara kita tertanya-tanya, apa rahsia beliau sehingga bukan sahaja mampu bertahan, malah cemerlang sepanjang pembabitan dalam industri. Semestinya jawapan itu ada pada Sitizoners yang menjadi antara musabab kejayaan figura kesayangan negara ini.

Tahun demi tahun berlalu, anak kelahiran Pahang ini utuh menabur keikhlasan demi menghibur peminat dan seluruh rakyat Malaysia secara amnya. Jelas sekali, segala kejayaan yang beliau kecapi kini adalah berkat pengorbanan dan menghambakan diri dalam industri seni yang sarat dengan dugaan.

Tahun ini, terpateri satu lagi kejayaan buat Siti apabila muncul dengan album baharu yang diberi judul SimetriSiti. Album yang memuatkan 10 lagu baharu itu menutup penantian peminat yang tidak jemu menyokong perjalanan seni beliau.

SimetriSiti amat bermakna buat penyanyi yang 13 kali merangkul trofi Persembahan Vokal Terbaik Anugerah Industri Muzik ini. Baginya, album tersebut cukup istimewa. Justeru, dia berusaha memberikan yang terbaik walaupun diduga dengan cabaran semasa proses rakaman.

“Proses rakaman agak mencabar memandangkan suara saya masih belum pulih sepenuhnya ketika itu. Syukur dengan kehadiran guru vokal yang membimbing saya menyempurnakan rakaman kesemua lagu mengikut tempoh ditetapkan,” katanya dalam majlis pelancaran album tersebut baru-baru ini.

SimetriSiti jelas memperlihatkan sisi lebih matang Siti daripada pelbagai sudut. Menarik penglibatan komposer dan penulis lirik baharu dan lama termasuk Aubrey Suwito, Opick dan Sid Mursid, album ini bagaikan percaturan sempurna yang mengangkat karier beliau pada aras lebih tinggi.

Tidak sekadar itu, menerusi album ini juga, Siti lebih teliti dan terbuka dalam pemilihan lagu yang turut disumbangkan karyawan muda. Itulah Siti Nurhaliza, yang sentiasa bereksperimentasi dan dahagakan idea baharu.

“300 lagu disumbangkan, 10 terbaik yang dipilih. Semua lagu ada keistimewaan tersendiri, namun untuk album kali ini, saya mencari sesuatu lebih 
segar yang sesuai dengan 
halwa pendengar baharu dan lama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Siti berkata, penghasilan album baharu merupakan satu anjakan positif untuk perkembangan karier seseorang penyanyi. Beliau akui cukup gembira melihat rakan-rakan penyanyi senior yang membuat kemunculan semula dengan album penuh.

“Ini adalah persaingan yang sihat. Kehadiran artis lama dengan album baharu membuktikan industri muzik tempatan terus berkembang walau berdepan pelbagai cabaran seperti cetak rompak dan sebagainya.

“Saya gembira melihat syarikat rakaman yang berani menerbitkan album penuh untuk artis di bawah naungan mereka. Tindakan itu memberi suntikan positif buat industri muzik kita,” ujarnya.