Masakan tidak, Suhaimi atau lebih mesra disapa sebagai Pak Ngah merupakan individu yang bertanggungjawab mencorakkan kerjaya seninya khususnya dalam memperjuangkan irama muzik Malaysia sepanjang lebih dua dekad Siti Nurhaliza dalam gelanggang industri hiburan.

Bahkan, apa yang turut membuatkan Siti Nurhaliza berduka cita ialah, Pak Ngah bukan hanya sekadar kenalan industri muzik, sebaliknya, Allahyarham juga sudah dianggap seperti bapanya sendiri yang tidak pernah lokek memberi tunjuk ajar dan bimbingan.

“Arwah adalah pejuang seni dan budaya yang banyak membantu karier saya sejak bergelar penyanyi. Saya amat terkesan atas kehilangannya yang sudah dianggap sebagai bapa sendiri. Ini adalah kehilangan yang sangat besar buat industri seni,” kata Siti Nurhaliza kepada Utusan Online.

Pak Ngah, 60, menghembuskan nafas terakhir di Batam, Indonesia sekitar pukul 3.05 petang tadi. Utusan Online difahamkan pada masa ini, jenazah Allahyarham masih berada di sana dan hanya akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur esok.

Allahyarham Pak Ngah merupakan komposer ternama tanah air yang begitu konsisten memperjuangkan irama Malaysia serta banyak menghasilkan lagu untuk penyanyi-penyanyi terkenal seperti Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Syura, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan ramai lagi.

Beliau menempa kemasyhuran yang cukup luar biasa apabila lagu ciptaan beliau, Cindai nyanyian Siti Nurhaliza mencetus fenomena sekitar 1997 bukan sahaja di Malaysia bahkan turut diminati oleh penggemar muzik di Indonesia.

Siti Nurhaliza yang sangat terkejut dengan berita pemergian Pak Ngah juga memberitahu, beliau tidak akan pernah lupa jasa dan sumbangan Allahyarham khususnya dalam menghasilkan banyak karya seni yang luar biasa sepanjang hayat beliau.

“Pak Ngah banyak hasilkan karya-karya terbaik, semoga karya-karya Pak Ngah akan terus hidup meskipun Pak Ngah sudah tiada,” kata Siti Nurhaliza yang juga merakamkan lagu-lagu ciptaan Pak Ngah yang lain seperti Nirmala, Balqis dan banyak lagi.

Sementara itu, pasangan duet Siti Nurhaliza menerusi lagu Hati Kama yang dicipta oleh Pak Ngah iaitu Noraniza Idris juga terlalu terkejut sebaik dimaklumkan komposer terkenal itu meninggal dunia.

Kesedihan yang terlalu mendalam dilalui Noraniza menyebabkan beliau sukar untuk berkongsi perasaan sedihnya.

“Maaf, lidah saya kelu hendak berkata-kata. Saya masih bingung dan tidak percaya. Walaupun dia sudah tiada, semestinya arwah akan sentiasa berada dalam ingatan semua, terutama penyanyi-penyanyi yang pernah menyanyikan lagu-lagu ciptaannya.

“Kenangan gurau sendanya pasti akan dikenang memandangkan itulah personalitinya yang paling mudah diingati oleh semua orang,” beritahunya dalam nada sebak. - UTUSAN ONLINE