Berita pelantikan penghibur kesayangan ramai itu diumumkan pengurus peribadinya, Rozi Abd. Razak di laman sosial Instagram beliau sebentar tadi.

Bagi penyanyi yang masyhur dengan lagu Cindai dan Jerat Percintaan itu, pelantikan yang dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi itu merupakan satu penghormatan.

Menurut Siti Nurhaliza, 39, peluang menduduki kerusi berkenaan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berkongsi segala ilmu dan pengalaman seni yang diraihnya sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni.

“Selama ini saya aktif dalam bidang seni, menyanyi, membuat persembahan dan menimba pengalaman. Kini, masanya untuk saya berkongsi semula apa yang saya ada dengan masyarakat.

“Pelantikan ini juga satu anjakan baharu kepada diri saya sendiri kerana penglibatan saya sebagai ALP Aswara ini dalam bidang pendidikan,” kata Siti Nurhaliza yang turut menduduki kerusi Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar.

Aswara sebelum ini turut mengumumkan pelantikan dua lagi karyawan seni sebagai ALP institusi berkenaan ialah penyanyi veteran, Datuk A. Rahman Hassan serta pengarah filem dan drama, Rashid Sibir.

Wartawan TV3, Azwaliza Azman juga antara individu yang dilantik sebagai ALP Aswara. - UTUSAN ONLINE