Menurut Siti, beliau telah lama memasang niat semenjak mengandungkan Aafiyah.

Malah keinginan tersebut menjadi lebih kuat apabila umrah kali ini turut disertai suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa atau Datuk K, 50.

“Saya akan menunaikan umrah bersama suami, Aafiyah dan beberapa ahli keluarga yang lain. Ini adalah doa saya setiap kali ke Mekah sebelum mengandung dulu iaitu mohon dikurniakan cahaya mata dan membawanya menunaikan umrah selepas dilahirkan.

“Saya bersyukur doa saya ini dimakbulkan Allah kerana bukan senang mahu ke sana tanpa keizinanNya.

“Apa yang lebih menyeronokkan apabila hasrat ini tidak memerlukan masa yang lama memandangkan usia Aafiyah baru sahaja setahun tetapi sudah berpeluang ke sana.

“Dari segi persiapan, saya banyak berdoa agar semuanya dipermudahkan kerana Aafiyah masih kecil. Saya berserah kepada Allah,” jelas Siti yang mahu Aafiyah membesar dengan didikan agama yang cukup.

Kata Siti, dia mahu anaknya itu membiasakan diri dengan apa yang beliau lakukan (ibadah) seperti melihat dirinya bersolat.

“Cuma saya perlu memikirkan waktu yang sesuai untuk membawa Aafiyah ke Masjidil Haram kerana terlalu ramai jemaah di sana.

“Ini penting demi kesihatan dan keselesaannya memandangkan dia masih kecil. Saya turut membawa kakaknya (panggilan kepada pengasuh Aafiyah) untuk memudahkan urusan di sana nanti,” katanya.

Justeru kata Siti, dia mengambil kesempatan tersebut juga mahu bertanya kepada rakan-rakan artis yang pernah bawa anak mereka mengerjakan umrah.

“Misalnya Yatt Hamzah yang pernah bawa anak-anaknya ke Mekah walaupun sedang mengandung ketika itu. Ia menguatkan lagi semangat saya untuk membawa Aafiyah,” ujar Siti.

Penyanyi ini ditemui dalam majlis Berbuka Puasa Siti Nurhaliza Bersama Sitizone dan majlis penyampaian anugerah Universal Music Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Dalam majlis penghargaan itu, Siti dinobatkan sebagai penerima anugerah Legend Award Universal Music Malaysia yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Universal Music Malaysia, Singapura dan IndoChina, Kenny Ong.

Siti Nurhaliza bawa Aafiyah tunai umrah
Siti dinobatkan sebagai penerima anugerah Legend Award Universal Music Malaysia


“Bakat dan profesionalisme yang ada pada beliau adalah sesuatu yang sangat berharga buat kami. Kami berbangga untuk menyampaikan Legend Award kepada Siti,” kata Kenny Ong.

“Bekerja dengan Siti dan pengurusannya adalah satu pengalaman yang menakjubkan. Selama bertahun-tahun bersama, beliau sangat profesional dan sangat mudah bekerja dengannya.

Siti menerima anugerah ini berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam penjualan fizikal dan digital bagi album Fragmen, Konsert Unplugged dan SimetriSiti serta empat lagu single.

Empat single tersebut adalah lagu Anta Permana apabila Siti menerima 11 kali Platinum, Comel Pipi Merah (4 kali platinum), Mikraj Cinta (Platinum) dan Cinta Syurga (emas).

Malah kedudukan dirinya yang masih tidak tergugat dengan kehadiran mana-mana artis baharu lajn melayakkan beliau menerima anugerah tersebut.

Dalam masa yang sama Siti turut menerima anugerah emas untuk album SimetriSiti.

Malah beliau turut mencipta sejarah apabila muncul sebagai Malaysia’s Most Streamed Local Artist untuk tahun 2017 dan 2018 di pelantar muzik digital Spotify. - UTUSAN ONLINE