Selepas itu Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana memberi perhatian kepada single baharu, Terus Mencintai yang kian mendapat tempat di hati pendengar.

Biarpun lagu tersebut masih lagi dalam peringkat promosi, Siti Nordiana tetap memperuntukkan masa di lokasi penggambaran.

“Ini merupakan drama pertama saya pada tahun ini, itupun saya ambil telefilem bukan drama bersiri.

“Saya bakal menjalani penggambaran telefilem berjudul Sekelat Semanis Honey. Pasangan saya dalam telefilem arahan Eira Rahman adalah Fikry Ibrahim.

“Saya bersetuju untuk berlakon telefilem bergenre romantik komedi ini kerana waktu penggambarannya tak lama seperti drama bersiri. Bukan tidak ada tawaran drama bersiri, memang ada tapi saya tak dapat memberi komitmen sebab saya perlu waktu untuk promosi Terus Mencintai dan saya tak mahu menyusahkan orang lain,” katanya kepada Mega HITS.

Bercerita lanjut tentang Sekelat Semanis Honey, kata Siti Nordiana, dia melakonkan watak Maya, seorang ibu tunggal yang hidup susah.

“Status Maya sama seperti saya, cuma dia buka kedai makan. Malangnya kedai makan milik Maya jarang dikunjungi pelanggan tapi ada seorang pelanggan tetap iaitu Adam Iskandar, seorang artis terkenal yang dilakonkan oleh Fikry.

“Adam Iskandar ini perasan dia popular mengalahkan Justin Bieber dan nak elak orang kerumun dia waktu makan, dia pilih kedai Maya yang tak berapa nak ada orang. Ceritanya tak berat, saya tak ada masalah nak berlakon dengan Fikry sebab kami sudah biasa mengendali program Gema Gegar Vaganza,” katanya.

Pelakon lain yang terlibat dalam telefilem yang akan disiarkan di Astro Citra, September nanti adalah Adam Shah sebagai bekas suami Maya, Kartina Aziz dan Zulin Aziz.

Dalam pada itu, populariti Siti Nordiana bukan sahaja menyerlah di tanah air malah namanya juga mendapat perhatian di negara jiran, Indonesia.

Baru-baru ini dia ke sana untuk menjalani rakaman program Ini Talk Show yang dikendalikan oleh Sule dan Andre Taulany yng disiarkan menerusi NET.TV.

“Saya diundang untuk program itu bagi bercerita tentang lagu Raya Nusantara yang saya nyanyikan dengan Rizky Febian, Fatin Shidqia, Ismail Izzani dan Sufi Rashid.

“Orang di sana memang suka lagu-lagu irama Melayu dan sebab itu pengacara minta saya nyanyikan lagu Cindai, lagu-lagu popular Search dan Slam. Mungkin lagu saya belum cukup kuat di sana.

“Harap lagu saya ada peluang nanti,” katanya menaruh harapan.

 

Selesa dengan Nana

Sementara itu, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 23, yang semakin aktif berlakon berkata, antara sebab dia bersetuju berlakon dalam Sekelat Semanis Honey adalah kerana Siti Nordiana.

“Memandangkan saya sudah kenal Kak Nana kerana sama-sama jadi pengacara Gema Gegar Vaganza jadi saya rasa tak akan ada masalah untuk berlakon dengannya.

“Sebab kedua saya terima tawaran ini kerana watak yang saya bawa Adam Iskandar ada dua karakter iaitu penampilan sebagai artis dan diri sebenar. Kiranya ini mencabar saya sebab perlu lakonkan dua karakter,” jelasnya yang sebelum ini popular dengan drama Hero Seorang Cinderella.

Fikry yang berasal dari Jitra, Kedah merupakan pemenang tempat ketiga Lawak Solo 2016, mahu meluaskan bakat dalam bidang lakonan selain mengacara dan berlawak.

“Setakat ini, Alhamdulillah selepas penggambaran telefilem yang dijangka mengambil masa selama sembilan hari, saya akan ke lokasi penggambaran drama bersiri Syurga Bukan Percuma yang diadaptasi daripada novel.

“Drama 24 episod itu akan ditayang di Astro Oasis. Bagi saya, setiap peluang yang datang dan kalau saya yakin boleh buat memang saya terima. Begitu juga ada masanya saya jadi pengacara untuk majlis korporat.

“Sasaran saya satu saja, saya mahu nama bertahan lama dalam bidang seni. Tak kisahlah kalau saya menapak sedikit demi sedikit asalkan impian tercapai,” jelasnya yang mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya berbanding soal cinta.