Lebih mengejutkan, pengumuman tersebut dibuat dalam satu sidang akhbar yang bertempat di sebuah restoran di ibu kota menerusi sebuah rakaman video.

Berkata kepada Utusan Online, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu mengakui, dia menjalin hubungan dengan Alvin hanya selama beberapa hari sahaja dan sempat meluangkan masa berdua di Krabi, Thailand.

“Sebetulnya, hubungan kami itu adalah sekadar lakonan untuk menjayakan penggambaran klip video muzik baharu sempena penghasilan single terkini, Hatiku Milikmu.

“Penggambaran klip video ini dilakukan di Krabi. Jadi, kami ke sana untuk bekerja, bukannya berpacaran,” ujar Nana memberitahu cerita sebenar.

Mengulas mengenai Hatiku Milikmu, karya tersebut adalah ciptaannya sendiri, manakala lirik ditulis oleh Shana.

Klip video lagu itu pula mendapat sentuhan penuh daripada pasukan produksi Storytellrs yang berasal dari Romania tetapi bermastautin di Malaysia.

“Biarpun mereka tidak faham bahasa Melayu tetapi setelah diterjemahkan maksud setiap bait lirik kepada bahasa Inggeris, proses penghasilan klip video jadi mudah.

“Mereka sangat kreatif walaupun baru saja membabitkan diri dalam penerbitan muzik video kerana sebelum ini Storytellrs lebih tertumpu kepada penerbitan video berkonsep kembara.

“Klip video lagu Pematah Hati nyanyian Nabila Razali adalah karya pertama mereka,” kata Nana. - UTUSAN ONLINE