BUKU yang berkisar tentang perjalanan hidup Siti Nordiana akan berada di pasaran September ini.

Kata Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana, buku terbitan Must Read Sdn. Bhd., itu akan berada di pasaran mulai September ini berkisar tentang sejarah kehidupannya sejak mula bergelar artis pada usia 15 tahun sehinggalah sekarang.

“Kiranya buku Life Goes On itu berkisar tentang kehidupan Nana. Ada di antaranya Nana tidak pernah kongsi dengan pihak media seperti perjalanan kisah cinta dengan bekas suami.

“Buku ini bukan sekadar tentang perjalanan kisah hidup Nana tapi bagaimana Nana bangun meneruskan kehidupan selepas mengalami pelbagai dugaan. Tujuan buku ini dihasilkan adalah untuk memberi motivasi kepada orang di luar sana bahawa, jangan mudah putus asa,” katanya kepada Utusan Online.

Nana yang malu-malu nak mengaku bahawa Life Goes On adalah tulisannya, berkata, buku setebal 192 muka surat dengan harga RM30 itu turut menampilkan foto-fotonya sejak dulu hingga kini.

Dia yang popular dengan lagu Terus Mencintai memberitahu, idea untuk menulis buku tersebut tercetus sejak tahun lalu dan hanya disiapkan pada tahun ini.

“Idea nak buat buku kisah perjalanan hidup Nana sudah lama, mula menulis sejak 2017 dan tahun ini baru siap. Nana nak buat buku ini sebab mahu memberi inspirasi kepada orang ramai supaya tidak mudah mengalah, sebab itulah pada kulit muka buku ada ungkapan, takdir yang mengecewakan itu tak pernah sia-sia.

“Sebelum berjaya dicetak, tiga kali juga pihak penerbitan membuat suntingan dan bila sudah capai kata sepakat, buku itu pun dicetak. Buku-buku tersebut akan dijual di kedai-kedai buku dan pembelian boleh dibeli menerusi Instagram Nana nanti,” katanya.

Sementara itu, Nana turut memberitahu yang dia kini sibuk menjalani latihan untuk menjayakan konsert sulung bersama Alif Satar. Konsert Just Us Alif Satar & Siti Nordiana Live in Singapore akan diadakan di Auditorium Shine, Shaw Tower, pada 31 Ogos ini.

Jelas Nana, untuk konsert tersebut, dia kerap menjalani kelas vokal serta latihan bersama Alif termasuk dengan para penari.

“Setakat ini sambutan amat menggalakkan. Tiket-tiket untuk VIP telah habis dijual dan ada sedikit lagi untuk tiket-tiket harga biasa,” jelasnya tentang konsert yang dianjurkan oleh Adi Media Pte. Ltd. - UTUSAN ONLINE