SITI FAZURINA akui kurang terima tawaran lakonan sejak akhir-akhir ini.

Namun menurut pelakon itu, dia menganggap perkara tersebut sebagai lumrah dalam bidang seni tempatan dan sentiasa berusaha untuk mengambil peluang lain yang ada terutamanya dalam bidang perniagaan.


“Lima tahun sebelum ini memang saya aktif berlakon dan selepas itu, nama saya mula menyepi. Memang sesuatu yang tidak baik untuk kerjaya saya sebenarnya.


“Tapi saya rasa ini adalah lumrah. Satu ketika kita berada dalam populariti dan beberapa tahun mendatang, nama kita akan tenggelam dan diganti dengan kehadiran pelakon lain,” jelasnya kepada Utusan Online.


Tambah Fazurina, ada yang beranggapan dia kini sudah meninggalkan dunia lakonan sedangkan itu tidak benar sama sekali.


Dia masih lagi menerima tawaran tetapi tidak serancak dahulu. Apatah lagi komitmennya kini lebih ditumpukan pada dunia perniagaan menerusi syarikat produksi miliknya.


“Saya tak pernah melupakan dunia lakonan. Cuma kalau ada tawaran saya akan pilih yang bersesuaian dengan status saya yang berhijab dan kematangan saya sekarang.


“Kalau ada rezeki lakonan tahun depan dan ditawarkan watak sesuai, saya tidak akan menolak,” katanya yang baru sahaja menamatkan penggambaran drama untuk tayangan tidak lama lagi. - UTUSAN ONLINE