Malah wajah ceria Siti Nurhaliza selepas tujuh hari bergelar ibu memberi gambaran jelas, semua gelaran lain yang diterimanya sebelum ini termasuk sebagai penyanyi nombor satu negara tidak mampu menandingi tanggungjawab baharu yang digalasnya.

Kongsi Siti Nurhaliza, anugerah terindah yang kali pertama melihat dunia pada pagi 1 Rejab membuatkannya seperti tidak percaya doanya setiap masa dan ketika kini berada di hadapan mata.

Memilih Siti Aafiyah sebagai sapaan buat puteri sulung, maksud di sebalik nama itu cukup indah dengan membawa segala-gala maksud yang baik.

“Pengalaman setiap ibu melahirkan anak itu berbeza termasuk saya bila sewaktu melahirkan anak, saya kehilangan banyak darah sehingga terpaksa ditempatkan di bilik bersalin selama satu hari.

“Alhamdulillah dengan kecekapan doktor yang merawat semuanya selamat, bagi saya sendiri sebagai seorang ibu kini perlu kuat. Bagi sesiapa yang pernah melalui pengalaman melahirkan anak melalui pembedahan pasti tahu akan kesakitan yang dialami tetapi ini adalah pengorbanan yang perlu saya lalui kerana ini yang saya mahu sejak 11 tahun lalu - untuk merasai pengalaman mengandung dan melahirkan anak,” katanya berkongsi pengalaman dengan wartawan dalam majlis tahnik, cukur jambul dan akikah kelmarin.

Selepas sekian lama mendambakan kehadiran zuriat selepas bernikah dengan usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 2006, penghibur legenda negara itu pada awalnya seakan-akan tidak percaya bayi yang didakapnya pada kali pertama ialah Siti Aafiyah.

“Tujuh hari bergelar ibu, pada mulanya saya bagaikan tidak percaya, sebelum ini kita hanya mengusap perut dan apabila dia di hadapan mata rasa bagai dalam mimpi.

“Mengandung dan melahirkan sudah berlalu, kini ada satu lagi tanggungjawab berat untuk saya dan suami. Ini adalah amanah buat kami berdua dan debaran utamanya adalah untuk mendidik dia sehingga besar,” jelas Siti Nurhaliza mengenai azam beliau dan suami.

Cukup ceria walaupun mengakui dunianya kini berubah 360 darjah, kongsi Siti Nurhaliza lagi, jika wanita lain berkongsi pengalaman dengan ibu masing-masing, berbeza pula bagi dirinya.

Kehadiran

Kehadiran menantu, Tya Arrifin yang juga isteri kepada anak tirinya, Asyraf Khalid banyak memudahkan beliau memahami dunia baharu sebagai seorang ibu apa lagi pada usia 39 tahun.

“Semuanya baharu untuk saya apabila bergelar seorang ibu kini. Tetapi alhamdulillah ibu mentua dan ibu saya sendiri banyak membantu sepanjang tempoh berpantang dan cabaran utama selepas bergelar ibu selama tujuh hari ini adalah menyusukan anak. Nampak senang tetapi sebenarnya bukan sesuatu yang mudah.

“Jika orang lain berkongsi dengan ibu tetapi saya banyak dibantu menantu saya sendiri dalam berkongsi tip, buat masa ini semuanya baik dan sedang melalui pengalaman dengan rasa syukur,” ujarnya yang tidak jemu-jemu mensyukuri anugerah terindah itu.

Tidak sekadar berubah rutin harian, bentuk badannya kini juga melalui perubahan yang ketara. Tetapi berbeza dengan beberapa pendapat wanita lain, bagi Siti Nurhaliza untuk kembali mendapatkan bentuk badan ideal adalah sesuatu yang perlu sebagai seorang figura terkenal namun bukanlah bermakna perlu membahayakan dirinya.

Malah jelas penyanyi lagu Cindai dan Jerat Percintaan ini, buat masa ini beliau juga akan mengambil cuti selama enam bulan sebelum mampu kembali ke dunia hiburan.

“Saya tidak akan membahayakan diri semata-mata untuk kurus selepas melahirkan anak, tidak mengapa mengambil masa yang lama sedikit tetapi mengikut proses yang betul.

“Soal berehat pula mungkin selama enam bulan ini saya akan memberi fokus kepada proses penyembuhan saya.

“Bagaimanapun setiap wanita itu berbeza, ada yang tiga bulan atau empat bulan tetapi bagi saya enam bulan adalah waktu yang sesuai,” ujar beliau lagi.

Datuk K idam Siti Aafiyah 18 tahun

KONGSI Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, sudah lama beliau mengidam untuk menimang seorang anak perempuan.

Lebih indah untuk menyokong kata-katanya itu, kata Khalid, beliau juga sudah menyediakan sebuah bilik sejak 18 tahun lalu dalam menanti kehadiran seorang puteri dalam hidupnya.

“Kalau Siti selama 11 tahun, saya pula hampir 18 tahun menanti kehadiran seorang anak perempuan.

“Sebenarnya selepas rumah ini siap, saya sediakan setiap bilik untuk anak-anak saya, jadi saya sediakan juga sebuah bilik sebagai bilik simpanan buat seorang anak perempuan. Sebelum ini bilik itu hanya digunakan sebagai bilik tetamu dan bilik untuk menyimpan beg tangan Siti. Baru kini bilik untuk dapat digunakan untuk anak perempuan kami,” katanya berkongsi rahsia.

Sebagai seorang ayah dan suami, Khalid mahu melihat isterinya diberi peluang untuk melalui pengalaman melahirkan dan membesarkan seorang insan.

Khalid juga tidak mampu menyembunyikan rasa gembira melihat keseronokan yang sedang dinikmati wanita yang menjadi pendamping setianya sejak bernikah.

“Saya sangat seronok melihat Siti selepas sekian lama dia mendambakan untuk bergelar ibu. Perasaan itu bercampur baur seronok, sedih gembira sebenarnya.

“Ini adalah anugerah yang tidak ternilai buat kami sekeluarga, harapan kami tiada yang lain selain untuk melihat zuriat ini membesar menjadi anak yang solehah,” kata Khalid yang berikrar akan memastikan kasih, sayang dan cintanya kepada Siti Nurhaliza dan Siti Aafiyah tidak akan berkurang.

Siti Aafiyah sudah popular

Mendapat perhatian ketika usia kandungan mencapai empat bulan, kini nama Siti Aafiyah juga sudah mula dikenali peminat ibunya.

Bagaimanapun sebagai seorang ibu yang juga seorang penyanyi paling popular di negara ini, harapan besar dalam diri Siti Nurhaliza untuk melihat puterinya itu mampu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain.

“Saya hanya mahu besarkan dia secara normal seperti kanak-kanak lain, tidak mahu dia dibesarkan sebagai seorang selebriti atau apa.

“Bagaimanapun kalau ada tawaran atau sebagainya, perkara itu akan saya bincangkan dengan suami. Dalam setiap keputusan juga perlu dengan persetujuan suami,” ujar wanita yang sentiasa mendapat belaian kasih dan sayang daripada suaminya, Khalid, 59.

Baru berusia tujuh hari, nama Siti Aafiyah cukup dekat dengan pengguna laman sosial. Malah sudah ada beberapa kewujudan laman sosial yang menggunakan nama bayi kepada penyanyi ini.

Menjelaskan perkembangan itu, Siti Nurhaliza berkata, buat masa ini gambar anaknya itu hanya akan dikongsi melalui laman sosial miliknya sahaja.

“Saya tidak boleh buat apa kerana ibunya juga seorang penyanyi namun buat masa ini wajah anak saya hanya boleh didapati di laman sosial saya sahaja.

“Soal wujudkan laman Instagram khas buat masa ini saya tidak terfikir lagi. Rasanya peminat saya juga faham yang kewujudan laman sosial tersebut bukan bawah kawalan saya,” terang beliau.