Bahkan, statusnya selaku guru vokal dan berkelulusan dalam bidang muzik dilihat faktor penting yang perlu diambil kira agar peserta lain tidak memandangnya dengan sebelah mata.

“Sejujurnya, apabila ada tanggapan sebegitu, saya mula rasa gerun kerana terbeban dengan tanggungjawab yang lebih besar bagi mengharungi cabaran ini.

“Namun, saya menjadikan semua itu sebagai dorongan untuk tampilkan sebuah persembahan terbaik,” kata Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil.

Mendalami ilmu muzik sejak berusia lima tahun, Sissy akui dirinya masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki demi meletakkan namanya sebaris peserta lain yang lebih popular.

Menurutnya, rakan lain yang menyertai BS 2018 miliki pengaruh kuat di media sosial dan itu adalah satu kelebihan mendapatkan sokongan padu peminat berbanding dirinya yang kurang dikenali.

“Apapun, saya sahut setiap cabaran yang ada dan diharap platform ini dapat membuka mata orang di luar sana terhadap bakat saya,” ujarnya positif.

Sewaktu penganjuran AJL 33 yang lalu, Sissy berperanan sebagai pemain piano yang mengiringi persembahan Hael Husaini sewaktu menyampaikan lagu Jampi. - UTUSAN ONLINE